Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo berwaspada terhadap strategi yang dirancang oleh pengendali Malaysia, Kim Pan Gon menjelang pertembungan kedua-dua pasukan itu di Stadium My Dinh, malam esok.

Vietnam memerlukan kemenangan untuk merebut tiket ke separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 namun Park Hang Seo mengakui anak buahnya bakal berdepan tugas yang sukar.

“Seluruh pasukan kena bermain dengan baik. Kami sudah menganalisis corak permainan Malaysia. Barisan pemain Malaysia yang ada cukup berkualiti walaupun mereka tiada beberapa tonggak utama.

“Melihat kepada barisan pemain Malaysia dalam dua perlawanan sebelum ini, memang sukar untuk kenalpasti pemain mana yang mereka akan turunkan. Ketika lawan Laos, mereka tukar 8 pemain dan ia bermaksud jurulatih [Kim Pan Gon] simpan tonggak utama,” kata Park Hang Seo di sidang media hari ini.

Malah, beliau juga menyifatkan kehadiran dua pemain naturalisasi baharu, Sergio Aguero dan Lee Tuck banyak membantu mencorakkan pemainan pasukan Malaysia.

“Setiap negara ada polisi dan budaya yang berbeza. Saya tak sokong atau menentang projek naturalisasi Malaysia. Saya sudah buat kajian terhadap semua pemain naturalisasi mereka. Sergio Aguero dan Lee Tuck sangat luar biasa,” jelasnya.

Selain itu, Park Hang Seo juga sangat mengenali Kim Pan Gon kerana datang dari kampung sama dengannya. Beliau juga tidak sabar untuk menguji taktikal Pan Gon kerana jarang bertembung di peringkat antarabangsa.

“Saya kenal coach Kim. Falsafah permainannya sukar dijangka. Encik Kim datang dari kampung yang sama dengan saya. Ketika dia masih bermain, saya sudah jadi jurulatih.

“Dia ke Hong Kong untuk bermain bola sepak dan bekerja sebagai jurulatih di sana. Kemudian, dia kembali semula ke Korea bertugas sebagai Pengarah Teknikal untuk Korea FA. Beliau terlibat dalam tugas yang penting. Di Hong Kong, Encik Kim adalah jurulatih yang bagus dan berjaya,” ujar Hang Seo.

Park Hang Seo juga enggan mengulas mengenai formasi 3-4-3 yang digunakan oleh pasukan Harimau Malaya ketika ini. Ia adalah formasi yang sama digunakan Vietnam dalam setiap perlawanan antarabangsa.

“Mengenai pasukan Malaysia, selepas Encik Kim tiba, corak permainan mereka jauh berbeza, moral pemain sangat tinggi. Mengenai formasi 3-4-3 mereka, saya rasa untuk bercakap tentang kesesuaian, ada banyak faktor, Encik Kim mesti sudah banyak melakukan kajian dan memilih cara bermain yang betul.

“Melalui 2 perlawanan, saya melihat pemain Malaysia sangat pantas. Apabila melakukan hantaran, mereka sering melakukan percubaan berbahaya di depan gawang,” katanya seperti dipetik dalam Bongdaplus.