Rentak kemenangan Malaysia terhenti pada aksi ketiga Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 selepas tunduk 0-3 ditangan Vietnam pada aksi yang berlangsung di My Dinh Stadium, sebentar tadi.

Disebalik kekalahan itu, keputusan yang diambil pengadil perlawanan dari Jepun, Ryuji Sato pada babak kedua pastinya menjadi lebih menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan para penyokong skuad negara.

Beraksi dihadapan puluhan ribu penyokong sendiri, Vietnam dilihat beraksi dengan lebih tersusun untuk mendominasi aksi awal permainan.

Namun, Malaysia terlebih dahulu mendapat peluang untuk menguji gawang tuan rumah menerusi rembatan dalam kawasan penalti oleh Mukhairi Ajmal Mahadi tetapi percubaannya melewati palang gol Vietnam.

Kem Vietnam melonjak kegembiraan pada minit ke-28 apabila Nguyen Tien Linh berjaya menanduk masuk bola susulan sepakan penjuru yang diambil Ho Dung Do bagi meletakkan skuad kendalian Park Hang-seo dihadapan.

Berselang empat minit kemudian, Vietnam terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Nguyen Van Toan diperintahkan keluar padang ekoran kad kuning kedua diterimanya.

Kelebihan itu hampir digunakan skuad negara pada lewat babak pertama tetapi tandukan dan rembatan leret Mukhairi pada minit ke-41 dan 45 berjaya digagalkan penjaga gol, Dang Van Lam.

Sato kemudiannya menjadi tumpuan selepas beliau menghadiahkan sepakan penalti buat Vietnam dalam keadaan yang jelas tidak dapat diterima para pemain skuad negara.

Tidak hanya sepakan penalti, beliau turut menghadiahkan kad merah kepada Azam Azmi Murad susulan situasi di luar padang [off the ball] itu. Que Ngoc Hai yang mengambil sepakan pada minit ke-64 tidak berdepan masalah untuk menambah jaringan kedua

Nguyen Quang Hai membuktikan mengapa beliau digelar bintang Vietnam apabila lorongan baiknya sebaik sahaja dimasukkan memberikan ruang seluasnya buat Nguyen Hoang Duc untuk mengesahkan kemenangan 3-0 buat juara dua kali itu.

Anak buah Kim Pan-gon perlu menewaskan Singapura pada aksi terakhir, 3 Januari 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk melayakkan diri ke separuh akhir.