Skuad Kebangsaan Vietnam berpeluang menguji kekuatan menentang pasukan dari eropah apabila dijadualkan menentang kelab Bundesliga, Borussia Dortmund dalam satu perlawanan persahabatan pada 30 November 2022.

Perlawanan itu juga akan jadi medan untuk ketua jurulatih, Park Hang-seo menerapkan taktikal baharu sebagai persiapan menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini.

Difahamkan tiket perlawanan menentang Borussia Dortmund mula dijual secara dalam talian mulai hari esok dan bakal menjadi rebutan penyokong fanatik Vietnam.

Dortmund yang merupakan juara Bundesliga sebanyak 8 kali akan membawa barisan terbaik ke Hanoi. Selain aksi persahabatan, mereka juga terlibat dalam aktiviti bertemu peminat setia pasukan itu.

“Kami tahu orang Vietnam sangat suka bola sepak dan Dortmund ada bilangan penyokong yang besar di sini. Kami janji akan bawa skuad utama yang terdiri daripada pemain terbaik,” kata Pengarah Komersial Dortmund, Benedikt Scholz.

Bagaimanapun, beberapa bintang dalam pasukan itu mungkin tidak dapat ikut serta ke Vietnam kerana terlibat dalam saingan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) minggu lalu turut mengumumkan kerjasama strategik dengan Borussia Dortmund untuk program pembangunan akar umbi.

Hasil kerjasama tersebut, skuad kebangsaan Vietnam dan pemain muda berbakat berpeluang berlatih di Pusat Latihan BVB serta beraksi dalam perlawanan persahabatan pada tahun 2023.

“Latihan bola sepak pemain muda ada dalam DNA kami dan Dortmund sedia membantu Vietnam,” kata Scholz.

VFF juga mempunyai projek khas dimana mereka akan menghantar pemain muda yang berpotensi ke Jerman sebagai langkah awal dalam misi untuk layak ke Piala Dunia 2030.

Setiap tahun, VFF akan melakukan saringan dan mereka akan memilih pemain muda terbaik untuk dihantar menjalani latihan dengan beberapa kelab yang beraksi dalam saingan Bundesliga 1 dan 2 seperti Bayern Munich, Borussia Dortmund, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin dan banyak lagi.

Pemain yang menampilkan prestasi cemerlang ketika sesi latihan bersama kelab terbabit akan terus tinggal di Jerman dimana mereka akan beraksi bersama pasukan belia sekaligus menimba ilmu dan pengalaman yang diperlukan.