Tidak dinafikan lagi bahawa pengetahuan fisioterapi dan sains sukan dalam aspek merawat kecederaan bagi setiap jenis sukan adalah sangat penting.

Ini kerana sekiranya berlaku kecederaan sewaktu bersukan, sekurang-kurangnya kita mampu untuk melakukan sesuatu bagi mengurangkan kadar kecederaan sebagai rawatan awal.

Ia jelas terbukti apabila tular video di laman media sosial Tik Tok mengenai seorang lelaki yang mengalami kecederaan ‘ankle dislocation’ sewaktu bermain futsal di salah sebuah gelanggang futsal di Subang, Selangor.

Ternyata lelaki itu bernasib baik kerana secara kebetulan, skuad futsal Sabah yang akan beraksi dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2021 turut menjalani latihan di situ.

Dengan pantas sebaik sahaja lelaki tersebut mengalami kecederaan, fisioterapi pasukan tersebut, Fatin Nabilah Shahibudin tampil memberikan rawatan awal dengan pantas dan keupayaannya menangani situasi cemas itu dipuji netizen.

Video yang dimuat naik kelmarin itu telah menarik lebih daripada 100,000 sukaan (like) dan mendapat 3181 komen serta 3847 perkongsian.

Walaupun keadaan buku lali lelaki tersebut amat mengerikan, Fatin yang memiliki Diploma Fisioterapi dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dengan cukup tenang merawat lelaki yang merupakan pemilik akaun Tik Tok ‘Pottera Farhan’ itu.

Ketika dihubungi wakil Vocket FC, Fatin Nabilah berkongsi sedikit ilmu tentang kecederaan yang telah dihadapi oleh Farhan itu.

“Agak bernasib baik kerana saya masih boleh memasukkan kembali buku lalinya kerana tiada apa-apa masalah.”

“Tetapi sekiranya ada tulang yang patah dan terkeluar sehingga menembusi isi dan kulit, dia perlu dibawa terus ke hospital untuk rawatan,” ujar Fatin Nabilah.

Ternyata peranan fisioterapi tidak boleh dipandang enteng semua pihak kerana terdapat tanggungjawab berat yang digalas oleh mereka.

@potterafarhan

The day that may change my life forever😭😔…(‼️p/s: jgn tengok kalau tak kuat‼️)

♬ original sound – Pottera Farhan – Pottera FARHAN