Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Sentuhan hebat pemain berpengalaman, Mohd Hafiz Kamal dalam menyempurnakan sepakan percuma seperti yang sering dijelmakan ketika zaman kegemilangannya nyata masih lagi belum pudar.

Ia jelas dibuktikan oleh bekas pemain kebangsaan itu apabila Hafiz menyudahkan dengan baik sepakan percuma yang menjadi ‘trademark’ dalam kariernya.

Jaringan menarik tersebut terhasil ketika aksi persahabatan kelab saingan Liga M3 yang diwakili Hafiz, Respect FC itu bertemu Kelab Bolasepak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI FC) di Padang Sultan Abdul Jalil, kelmarin.

Hafiz yang mengambil sepakan kira-kira dari jarak 20 meter berjaya mengelirukan penjaga gol MBI FC sekali gus ia merupakan jaringan kemenangan buat kelab berpengkalan di Ipoh itu.

Kemampuan dalam menyempurnakan peluang terhidang serta kreatif dalam mengemudi jentera tengah menjadikan Hafiz sebagai tunjang buat Respect FC dalam menghadapi Liga M3 2022 yang dijangka bermula Februari nanti.

Selain Hafiz Kamal, beberapa lagi pemain berpengalaman yang bakal memperkuatkan Respect FC ialah Nazrin Nawi, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri, Khairul Amri Salehuddin, Norfiqrie Abdul Talib dan Hamizul Izaidi Zulkefli.

Saingan Liga M3 2022 difahamkan bakal disertai oleh 20 pasukan dimana kejohanan akan berlangsung dengan format liga dua kumpulan.

Empat pasukan teratas bagi kedua-dua kumpulan akan mara ke Suku Akhir Liga M3 2022 dan format perlawanan kalah mati dua pusingan akan digunakan pada pentas akhir pertandingan yang dijadualkan pada September 2022 di venue neutral yang mana dua pasukan teratas berpeluang untuk dipromosi ke Liga Premier 2023 anjuran MFL.

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group