Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) meletakkan sasaran untuk skuad kebangsaan lelaki dan wanita negara tersebut dimana mereka mahu menjadi antara pasukan terbaik di rantau Asia.

Menurut perkongsian Asean Football, bagi skuad lelaki, VFF mahu pasukan negara itu untuk menjadi antara lapan pasukan terbaik di Asia dan mereka meletakkan tahun 2023 sebagai permulaan kepada usaha untuk merealisasikan sasaran tersebut.

Selain itu, Vietnam mahu menjadi pasukan dari Asia Tenggara yang melepasi peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia/Piala Asia sekaligus melayakkan diri untuk beraksi di pusingan ketiga. Ini akan memberikan mereka slot automatik untuk beraksi di temasya Piala Asia.

Cita-cita terbesar yang ditetapkan oleh VFF ialah mereka mahu beraksi di temasya Piala Dunia dan meletakkan sasaran bermula dengan temasya Piala Dunia 2026 yang akan diadakan di tiga negara iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Bagi pasukan wanita pula, VFF meletakkan sasaran untuk pasukan itu menjadi antara empat pasukan terbaik di Asia selain cuba untuk membida bagi menjadi tuan rumah temasya Piala Dunia Wanita pada 2027.

Sasaran ini dilihat realistik memandangkan Vietnam ketika ini menampilkan prestasi yang baik di peringkat Asia dimana pasukan lelaki menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang beraksi dalam saingan kelayakan pusingn ketiga Piala Dunia 2022.

Baru-baru ini, skuad B-23 tahun negara itu berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA di negara sendiri selepas menewaskan Thailand di perlawanan akhir.

Pasukan wanita pula berjaya mara ke peringkat suku akhir temasya Piala Asia Wanita yang berlangsung pada awal tahun ini namun mereka terpaksa akur tewas kepada China dengan keputusan 3-1.

Sekiranya ketua jurulatih, Park Hang-seo membimbing pasukan untuk satu jangka masa lama, maka sasaran ini mampu untuk dicapai dibantu dengan beberapa pemain negara itu yang mula beraksi di luar seperti Nguyen Quang Hai yang dilaporkan bakal menyertai salah satu kelab divisyen dua Liga Perancis.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Negeri Sembilan Hadapi Buriram United Dalam Saingan Asean Charity Shield 2022

Perak Perkenal Tiga Pemain Import Hadapi Baki Liga Premier 2022

Australia Sedia Jadi Tuan Rumah Piala Asia Dengan Syarat AFC Anjak Ke Tahun 2024

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group