Bekas ketua jurulatih Kelantan, Velizar Popov sudah mula menjadi buah mulut perbincangan dikalangan penyokong Kelantan bagi menggantikan Sathit Bensoh untuk meneruskan cabaran Unifi Liga Super 2018.

Sehingga 3 perlawanan pertama, Kelantan merupakan pasukan tunggal yang masih belum mencatat sebarang kemenangan dari 12 pasukan bertanding. Dengan keputusan 2 kali kalah dan 1 seri, Kelantan mengutip 1 mata dan terperosok kedudukan tercorot liga dan telah merosakkan rekod cemerlang  lebih 10 tahun dalam perlawanan pembukaan liga.

Ejen KAFA Sudah Mula Mendekati Popov

2 hari lalu, ada spekulasi yang dimainkan dilaman sosial Facebook bahawa pihak KAFA sudah mula merisik kembali Popov untuk menerajui skuad The Red Warriors.

Vocket FC telah berjaya mendapatkan maklum balas dari Popov sendiri mengenai berita tersebut semalam.

Menurut Popov, beliau mengakui ada ejen yang sekarang ini bersama KAFA menghubungi beliau untuk mengadakan perbincangan mengenai tawaran sebagai ketua jurulatih baru skuad Kelantan.

“Seorang ejen yang berkerja untuk KAFA telah menghubungi saya 2 hari lalu, dan berita tersebut adalah benar”.

Popov Tunggu Tawaran Rasmi KAFA

“Ejen tersebut bertanya kepada saya adakah saya bersedia untuk memulakan perbincangan untuk tawaran sebagai ketua jurulatih Kelantan sekali lagi”.

Popov

Popov menegaskan bahawa, KAFA telah mengetahui syarat-syarat yang beliau mahukan dan beliau hanya mahu melihat adakah KAFA sedia membuat tawaran rasmi. Menurutnya lagi, beliau sedia untuk mengadakan perbincangan lanjut jika perlu.

“Saya memberitahu ejen itu KAFA telah tahu apa syarat-syarat yang saya mahukan. Jadi saya menunggu tawaran rasmi dari mereka dan bersedia untuk perbincangan lanjut selepas itu jika perlu. Itu sahaja yang saya boleh pastikan buat masa sekarang”.

Penyokong Kelantan Punca Popov Kembali

Apabila ditanya mengenai sebab beliau mempertimbangkan untuk kembali ke Kelantan, Popov memberitahu penyokong Kelantan adalah sebab utama keputusan tersebut.

“Tiada masalah. Semua orang tahu saya sayangkan Kelantan disebabkan penyokong mereka dan jika saya kembali ia adalah kerana penyokong”.