Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bert Van Marwijk enggan terlalu mendabik dada dengan kejayaan anak buahnya menundukkan Malaysia 4-0 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, pagi semalam.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Zabeel, Dubai itu menyaksikan peledak berbisa, Ali Ahmed Mabkhout dan Fabio Virginio De Lima masing-masing menyumbangkan dua gol sekali gus melonjakkan UAE di tangga kedua kumpulan G.

Meskipun Van Marwijk gembira dengan kemenangan berharga yang diraih UAE, pengendali kelahiran Belanda itu tidak mahu anak buahnya begitu selesa dengan kemenangan tersebut kerana menganggap ianya sebagai permulaan kepada misi wajib menang kesemua perlawanan.

“Saya gembira dengan keputusan pada perlawanan tersebut [bertemu Malaysia]. Ia merupakan satu perlawanan yang cukup penting,” ujar Van Marwijk menurut sumber laporan Gulf Today.

“Kemenangan ini juga telah memberikan bayangan jelas terhadap perjalanan sepanjang kejohanan [kelayakan] ini berlangsung.”

“Kami tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan ini kerana setiap perlawanan merupakan misi wajib menang buat pasukan. Ia hanyalah satu permulaan dan kami masih perlu menempuh perjalanan yang jauh.”

“Kami tidak bermain seperti yang diharapkan pada penghujung separuh masa pertama. Tetapi ketika memasuki babak kedua, kami bermain dengan sangat baik.”

“Dengan cuaca seperti ini, anda perlu kekal bermain dengan mudah kerana jika tidak, ia akan membuatkan anda berada dalam keletihan,”

“Kami seharusnya dapat menambah lebih banyak jaringan pada separuh masa pertama tetapi saya tetap berpuas hati dengan persembahan pasukan kerana mereka menunjukkan 75 peratus disiplin di atas padang,” tambah Van Marwijk lagi.

Baki tiga perlawanan yang akan dilalui UAE ialah bertemu Vietnam pada 8 Jun, Indonesia [12 Jun] dan aksi terakhir menentang Thailand berselang empat hari kemudian.

Baca artikel lain tentang perkembangan Kelayakan Piala Dunia 2022:

UAE Ambil Kesempatan Aksi Longlai Dipamerkan Skuad Negara

Shin Tae-yong Yakin Indonesia Akan Kalahkan Vietnam

“Gerakan Serangan Balas Laju, Beri Banyak Ruang Punca Barisan Pertahanan Mudah Dieksploitasi.”

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group