Pengendali skuad kebangsaan UAE, Bert Van Marwijk menegaskan pasukannya tekad menjadikan Malaysia sebagai mangsa yang pertama bagi mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.

Menurut laporan daripada media UAE, Albayan.ae, Van Marwijk mengakui telah mengikuti perkembangan skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan menentang Bahrain baru-baru ini namun beliau melihat kekalahan 0-2 itu adalah satu penipuan untuk menyembunyikan kekuatan sebenar.

Malaysia turut dibelasah 1-4 oleh Kuwait ketika perlawanan pemanas badan pertama di Dubai.

“Keputusan perlawanan persahabatan Malaysia dan Indonesia itu kemungkinan besar hanya untuk menipu kami. Saya rasa mereka tidak menunjukkan kekuatan sebenar. Semuanya akan berbeza ketika kami bertemu dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia,” katanya.

Minggu lepas, UAE telah mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas pasukan ranking FIFA 95 dunia, Jordan pada aksi persahabatan yang berlangsung secara tertutup di Stadium Rashid, Dubai.

Ia merupakan amaran awal kepada semua pasukan dalam kumpulan G menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bakal bermula pada awal bulan Jun ini. Ini juga adalah kemenangan besar kedua mereka selepas membelasah India, 6-0 pada bulan Mac lepas.

“Kami sedang buat persiapan rapi untuk menghadapi Malaysia. Saya beritahu pemain saya, perlawanan itu wajib menang.

“Kami bekerja untuk dua sisi, pertama meningkatkan kefahaman pemain dan membiasakan diri dengan corak permainan dan kedua bermain dengan semangat juang yang tinggi dalam setiap perlawanan terutamanya perlawanan pertama kelayakan,” jelas Van Marwijk.

Berdasarkan kedudukan semasa, UAE ketinggalan 5 mata di belakang pendahulu kumpulan G, Vietnam dan mereka mempunyai baki 4 lagi perlawanan. Jika gagal raih 3 mata berharga dalam semua perlawanan ini, peluang mereka untuk mara ke pusingan ketiga tertutup.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Suphanat Mueanta Cipta Sejarah, Jadi Pemain Termuda Jaringkan Dua Gol Untuk Thailand

RASMI: Juara Kumpulan Tidak Terjejas, FIFA Umum Mekanisme Penentuan Naib Juara Kumpulan

Penyerang Prolifik Vietnam Mahu Jaringkan 3 Gol Lawan Malaysia