Kem Barcelona pada ketika ini tidak berada dalam keadaan baik selepas dibebani hutang serta aksi kurang konsisten ditampilkan barisan pemain kelab Catalan tersebut pada musim ini.

Hanya mencatatkan tiga kemenangan, tiga keputusan seri dan satu kekalahan untuk menduduki tangga kesembilan saingan La Liga musim ini, Barcelona turut mempamerkan aksi buruk di Liga Juara-Juara Eropah selepas tunduk 0-3 kepada Bayern Munich dan Benfica.

Keadaan itu sememangnya cukup sukar dan sudah pasti pengendali pasukan, Ronald Koeman serta beberapa orang pemain telah menjadi sasaran kecaman pelbagai pihak di sana.

Keadaan itu disifatkan oleh bekas pengendali Barcelona, Louis Van Gaal sebagai perkara biasa di sana malah ia menjadi lumrah untuk menyalahkan individu luar daripada Sepanyol atas apa yang telah terjadi.

Dalam erti kata lain yang lebih mudah, ia seperti menjadikan orang asing sebagai kambing hitam buat kelab ini.


“Frenkie de Jong, telah dikritik? Ini adalah tipikal di Barcelona,” ujar Van Gaal menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Apabila anda mempunyai sumbangan besar yang dia tampilkan dalam dua tahun kebelakangan ini, tidak banyak yang perlu dibimbangkan.”

“Tetapi sekiranya perkara menjadi buruk, orang di Barcelona akan sentiasa mencari orang asing [untuk dipersalahkan], dalam hal sekarang ini, pengurus mereka adalah mangsanya.”

“Sejarah telah berulang. Ini adalah perkara-perkara yang pasti akan berlaku dan selalu menjadi ciri-ciri khas di Barcelona.”

“Saya menyarankan kepadanya [Koeman] supaya tidak terlalu memikirkan tentang semua perkara tersebut,” tambah Van Gaal lagi.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

Luis Suarez: Ronald Koeman Tak Berani Nyatakan Kebenaran

Dendam Terbalas, Suarez Ejek Koeman Dengan Keraian Telefon

Capello: Real Madrid Lebih Perlukan Bek Tengah Berbanding Mbappe

Sumber