Tonggak pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk menyedari kesukaran yang bakal dihadapinya pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 menentang Manchester City, Ahad nanti.

Dengan prestasi hambar dalam kempen liga setakat ini, Liverpool terpaksa berhadapan dengan lawan yang sukar meledak 33 jaringan selepas hanya mengharungi sembilan perlawanan.

Daripada 33 gol tersebut, 15 daripadanya disumbangkan oleh peledak berbisa, Erling Haaland dimana ia jelas membuktikan beliau berada di kelas yang tersendiri.

Keadaan itu disifatkan oleh van Dijk sebagai mimpi ngeri buat barisan pemain pertahanan dalam usaha mereka untuk mengekang penyerang prolifik tersebut.

“Ia jelas bukan perkara mudah [untuk mengekang Haaland], dia kini sedang berada di tahap yang terbaik. Anda tidak boleh berkata apa-apa tentang keupayaannya,” ujar van Dijk menurut laporan Goal.

“Selepas aksi Perisai Komuniti [Liverpool bertemu Manchester City], di mana ramai orang meragui kemampuannya, saya masih ingat bahawa saya mengatakan: ‘Pemain ini akan menyebabkan mimpi buruk buat para pemain pertahanan’.”

“Sekarang dia telah membuktikannya, dia menunjukkan dia berada di tahap yang begitu konsisten dan jelas di pasukan seperti Manchester City, peluang akan sentiasa muncul.”

“Kami perlu cuba untuk menghentikan bola yang akan datang kepadanya, bertahan di tahap tertinggi dan berada pada tahap terbaik.”

“Itulah yang selalu kami lakukan setiap kali berhadapan dengan City dan itu tidak akan berbeza pada hujung minggu nanti,” tambah Virgil van Dijk lagi.

Meskipun tidak berada di prestasi baik dalam kempen liga, kemenangan besar 7-1 ke atas Rangers pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) semalam sedikit sebanyak dapat meningkatkan moral para pemain Liverpool menjelang aksi penting di Anfield nanti.

 

 

Sumber