Hajat bekas penyerang skuad negara, V. Saravanan untuk pulang ke tanah air bagi menabur bakti buat bekas pasukannya kini telah menjadi kenyataan.

Hal ini kerana, Saravanan yang menetap di Finland bersama keluarganya baharu sahaja diumumkan sebagai penolong jurulatih Perak bagi menghadapi musim 2023.

Difahamkan jurulatih berusia 44 tahun itu telah memeterai kontrak selama dua tahun dengan pilihan untuk tambahan semusim lagi sekiranya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.

Perkembangan terkini yang disahkan oleh laman sosial rasmi Perak Football Club itu pastinya disifatkan bagai sirih pulang gagang buat Saravanan dimana beliau mula berkelana ke negara Eropah tersebut sejak tahun 2011.

Khidmat Saravanan ditagih ketua jurulatih Perak, Lim Teong Kim berdasarkan pengalaman beliau dalam membimbing skuad bawah 13 tahun (B13) kelab gergasi di sana, HJK Helsinki.

Terlibat secara langsung dalam pembangunan dan cukup arif dengan situasi bola sepak di Eropah mungkin menjadi antara sebab utama Lim Teong Kim memilih Saravanan untuk bersama-sama dalam barisan kejurulatihannya.

Seperti diketahui ketua jurulatih Perak itu cenderung dengan falsafah atau penerapan bola sepak dengan DNA Jerman kerana beliau begitu lama terlibat dengan pembangunan pemain remaja di Bayern Munich.

Susulan dengan itu juga, V. Saravanan akan bergandingan semula dengan bekas rakan sepasukannya sewaktu Perak menjulang trofi Piala Malaysia 1998 dan 2000 iaitu Raja Azlan Shah Raja Shoib untuk membentuk kombinasi mantap dalam membantu Lim Teong Kim.