Pemain pertahanan muda negara, V Annil mahu menggunakan pengalaman yang diperoleh ketika beraksi bersama kelab divisyen lima Jerman, SGV Freiburg apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Annil berkata demikian dalam satu temu bual bersama Astro Arena baru-baru ini dimana beliau teruja apabila menjadi salah satu calon bagi memperkuatkan skuad B-20 tahun negara menjelang saingan kelayakan AFC B-23 tahun di Mongolia pada Oktober ini.

Annil menjadi salah satu pemain muda yang beraksi di luar negara yang berada dalam senarai ketua jurulatih, Brad Maloney bagi diserapkan ke dalam skuad B-20 tahun.

Selain pemain pertahanan SGV Freiburg itu, dua lagi pemain iaitu Luqman Hakim (KV Kortrijk) dan Wan Kuzri Wan Kamal turut berada dalam senarai bagi memperkuatkan pasukan negara.

Selain tiga pemain di atas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut digesa untuk memanggil beberapa pemain muda yang lain seperti Kobe Chong yang baru-baru ini melengkapkan perpindahan dengan menyertai kelab EFL Championship, Peterborough United serta pemain tengah Brighton & Hove Albion, Jaami Qureshi.

FAM memutuskan untuk menghantar skuad B-20 kendalian Brad Maloney bagi menghadapi kelayakan AFC B-23 tahun. Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee berkata, ini merupakan program jangka panjang FAM bagi skuad B-23 kebangsaan menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pemain muda negara di sini:

Pemain B-19 Tahun Kelab Divisyen Lima Jerman Bakal Perkuatkan Skuad B-20 Tahun Negara

Luqman Hakim Dan Wan Kuzri Bakal Sertai Kem Latihan Pusat Skuad B-20

Kobe Chong Sertai Kelab Liga Kejuaraan, Peterborough United