Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tajikistan, Usmon Toshev berpendapat layangan kad merah terhadap penjaga gol, Rustam Yatimov mengubah rentak permainan pada perlawanan persahabatan menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada semalam.

Yatimov dilayangkan kad merah pada awal separuh masa kedua kerana menampan bola di luar kawasan penalti sekaligus menyebabkan Tajikistan beraksi dengan 10 pemain sehingga wisel penamat dibunyikan.

Meskipun tewas, namun Usmon tetap memuji persembahan yang ditampilkan oleh pemainnya dan menganggap perlawanan menentang Malaysia merupakan aksi pemanas badan terbaik sebelum mengharungi kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Usmon Toshev
Usmon Toshev. Sumber Gambar: FAM

“Saya rasa pemain telah beraksi dengan baik. Sayang sekali layangan kad merah menjadi penghalang untuk kami meraih keputusan positif.

“Kad merah tersebut tidak mengubah perancangan saya tetapi ianya telah mengubah rentak permainan. Tetapi tiada apa yang perlu dirisaukan kerana perkara seperti ini sering berlaku dalam bola sepak.

“Kami akan melihat semula kelemahan yang ditunjukkan pada perlawanan ini pada sesi latihan yang akan datang,” kata Usmon Toshev pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Safawi Rasid menjadi wira pasukan negara apabila menjaringkan gol tunggal sekaligus gol kemenangan pada separuh masa kedua bagi memberi tonik terbaik sebelum menghadapi Thailand dan Indonesia.

Perlawanan menentang Thailand akan berlangsung pada 14 November ini diikuti dengan perlawanan menentang Indonesia pada 19 November. Kedua-dua perlawanan akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan di sini:

Jaringan Safawi Rasid Bantu Skuad Harimau Malaya Tewaskan Pasukan Ranking Ke-116 Dunia

Tiga Pemain Negara Tersenarai Dalam Best XI Piala AFF Suzuki 2018