Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Salah satu wakil Asia iaitu skuad kebangsaan Korea Selatan mencatat keputusan seri tanpa jaringan pada aksi pembukaan kumpulan H temasya Piala Dunia 2022 menentang Uruguay.

Artikel Berkaitan:

Korea hadir dengan keyakinan tinggi selepas menyaksikan dua pasukan Asia yang lain iaitu Arab Saudi dan Jepun berjaya mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan lawan yang juga pernah muncul sebagai juara iaitu Argentina dan Jerman baru-baru ini.

Peluang terbaik Korea pada separuh masa pertama hadir menerusi penyerang, Hwang Ui-jo dimana beliau yang tidak dikawal dalam kawasan penalti gagal melakukan rembatan tepat sekaligus menyaksikan percubaan beliau sekadar melewati pintu gol lawan.

Bagi Uruguay pula, peluang terbaik mereka hadir menerusi tandukan ketua pasukan, Diego Godin yang mana bola terkena tiang selepas beliau menerima hantaran daripada Federico Valverde. Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-0.

Memasuki separuh masa kedua, Uruguay memasukkan salah seorang penyerang bintang mereka iaitu Edinson Cavani bagi menajamkan jentera serangan namun tidak banyak yang dapat dilakukan oleh bekas pemain Manchester United itu kerana disiplin bertahan yang cukup baik ditampilkan oleh Korea Selatan.

Pada penghujung permainan, Uruguay mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan namun rembatan jarak jauh Federico Valverde terkena tiang sekaligus keputusan seri 0-0 bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pada perlawanan seterusnya, Korea Selatan akan berdepan Ghana manakala Uruguay akan turun berdepan Portugal. Kedua-dua pasukan pernah bertemu pada aksi peringkat 16 pasukan terakhir pada edisi 2018 di Rusia yang mana Uruguay muncul sebagai pemenang ketika itu.