Pasukan kebangsaan Belanda memulakan kempen Liga Negara Negara Eropah,Kumpulan A4 dengan cemerlang sekali.

Mereka datang ke Belgium dan mencuri 3 mata penuh. Lebih menggembirakan The Oranje, mereka menang bergaya 4-1 ke atas Belgium yang dianggap pasukan pilihan.

Memphis Depay menjadi bintang kemenangan Belanda menerusi dua gol,
pada minit ke 51 dan 66.

Manakala dua lagi gol Belanda dijaringkan oleh Steven Bergwijn (40) dan Denzel Dumfries (62).

Belgium hanya mampu mendapat gol saguhati lewat masa kecederaan menerusi Mitchy Batshuayi pada minit 90+3.

Aksi kedua-dua pasukan sangat menghiburkan dengan permainan menyerang sejak minit awal.

Peluang pertama diperoleh pasukan tuan rumah pada minit ke-13. Percubaan deras Timothy Castagne dari jarak dekat terkena tiang gol.

Belgium menurunkan ramai bintangnya, termasuk Kevin De Bruyne, Lukaku dan Eden Hazard.

De Bruyne kemudian cuba melencongkan bola dari jarak jauh namun percubaannya tersasar.

Belanda memperoleh peluang keemasan pada minit ke-16 apabila Berghuis berhadapan dengan Simon Mignolet dan melepaskan rembatan kencang.

Mujur Mignolet masih mampu menepis bola tersebut.

Pada minit ke-40, Belanda membuatkan Stadium Koning Boudewijnstadion terdiam. Sepakan deras Steven Bergwijn dari luar kotak penalti tidak dapat dijangka oleh Simon Mignolet.

Dan pada separuh masa kedua, keadaan lebih baik untuk pasukan Louis Van Gaal. Gol kedua Belanda hadir pada minit ke-51 menerusi Memphis Depay yang menerima hantaran Berghuis.

Hari Belgium semakin suram apabila selang 10 minit kemudian Denzel Dumfries menjadikan kedudukan 3-0 berpihak pelawat.

Masih tidak puas dengan 3 gol pendahuluan mereka, Belanda menambah gol keempat menerusi Memphis Depay.

Pemain gantian Mitchy Batshuayi menjadikan kedudukan 1-4 pada masa kecederaan. Tamat perlawanan Belgium 1 Belanda 4.