Ole Gunnar Solskjaer dijangka dipecat sebagai pengurus Manchester United berikutan kekalahan teruk 4-1 kepada Watford pada hari Sabtu.

The Times melaporkan bahawa selepas kekalahan Man United tersebut, Lembaga Pengarah dan juga pemilik kelab iaitu keluarga Glazer telah mengadakan mesyuarat tergempar secara virtual.

Di mana agenda utama adalah berkenaan dengan masa depan Ole Gunnar Solskjaer dan pampasan yang akan diberikan jika beliau dipecat.

Ole

Sumber ESPN menambah bahawa Solskjaer tahu dia perlu menang pada hari Sabtu dan kini menjangkakan yang paling teruk.

Walaupun diaibkan Liverpool dan Manchester City, majoriti pengarah tertinggi  United, termasuk pengerusi bersama Joel Glazer dan naib pengerusi eksekutif Ed Woodward, terus menyokong Solskjaer, yang menandatangani kontrak baru tiga tahun pada musim panas lalu.

Tetapi cara persembahan buruk di Vicarage Road dan kekalahan kelima United dalam tujuh perlawanan terakhir mereka membuatkan Glazer dan Woodward menilai semula situasi tersebut.

Ketua perunding Matt Judge turut terlibat dalam perbincangan tersebut.

Perbincangan di kalangan eksekutif sejurus selepas perlawanan menentang Watford tertumpu kepada kos pampasan untuk pengurus itu, serta siapakan staf kejurulatihan yang dirasakan layak kekal di Old Trafford sekiranya Ole dipecat.

Walaupun United berada dalam landasan yang baik di peringkat kumpulan Liga Juara Juara Eropah, namun prestasi tidak menentu dalam aksi liga membuatkan Solskjaer mendapat tekanan sangat besar.

Lebih lebih lagi selepas dia mendapat pemain pemain yang dia mahukan termasuk Jadon Sancho, Raphael Varane dan Cristiano Ronaldo. Sebelum ini Ole diberikan sokongan dengan mendapatkan Van De Beek serta Alex Telles misalnya.

United melepaskan peluang untuk mendapatkan Antonio Conte berikutan kekalahan 5-0 kepada Liverpool di Old Trafford pada Oktober. United sudah menghubungi pengurus itu, namun usaha mendapatkan Conte tergantung kerana masih ada ahli tertinggi di Lembaga Pengarah United yang terus menyokong Ole.

Kini beberapa nama mulai menarik perhatian United termasuk Mauricio Pochettino, Brendan Rodgers, Zinedine Zidane, Erik ten Hag dan Ralf Rangnick untuk mengambil alih, tetapi semua calon tersebut kecuali Zidane bekerja di kelab lain.

Terdapat juga laporan menyatakan bahawa pengarah teknikal Darren Fletcher dan penolong jurulatih Michael Carrick akan menjadi interim sementara kelab mencari pengganti Ole.

Fabrizio Romano menyatakan bahawa United akan cuba sedaya upaya memastikan pemecatan Ole ini akan dilakukan dengan penuh rasa hormat sebagai menghargai jasanya sebagai pengurus dan legenda kelab.

Kekalahan terbaru menentang Watford telah menyaksikan United tergelincir ke tangga ketujuh dalam carta liga.

Mereka akan menentang Villarreal di Sepanyol pada hari Selasa sebelum lawatan ke Stamford Bridge berhadapan pendahulu liga, Chelsea pada Ahad dan perlawanan di tempat sendiri menentang Arsenal pada Disember. 2.