Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini telah mengadakan undian semula Kelayakan Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) Zon Timur bagi memastikan bilangan pasukan dalam setiap kumpulan menjadi seimbang.

Ia dilakukan susulan tindakan Korea Utara mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan itu yang akan bermula pada bulan Oktober nanti.

Bagi memastikan bilangan pasukan seimbang, AFC melakukan undian dengan memindahkan satu pasukan daripada kumpulan G hingga J menggantikan tempat Korea Utara dalam kumpulan K yang turut dihuni oleh Jepun dan Kemboja.

Undian ini melibatkan semua pasukan dari kumpulan G hingga J kecuali pasukan tuan rumah dan pilihan utama supaya tidak menjejaskan keseimbangan kumpulan seperti yang ditetapkan dalam undian rasmi pada 9 Julai lepas.

Selain Malaysia, 8 pasukan yang akan terlibat dalam undian ini ialah China dan Brunei (Kumpulan G), Timor Leste dan Filipina (Kumpulan H), Myanmar dan Hong Kong (Kumpulan I) serta Laos (Kumpulan J).

Pasukan pertama yang diundi akan dimasukkan dalam kumpulan K bagi menggantikan tempat Korea Utara. Hasilnya, Hong Kong telah terpilih dan ditempatkan dalam kumpulan K bersama Jepun dan Kemboja.

Bagaimanapun, peminat bola sepak tempatan boleh menarik nafas lega kerana kedudukan Malaysia dalam kumpulan J tidak berubah dan kekal bersama 3 pasukan yang lain iaitu Thailand, Laos, dan Mongolia.

Skuad negara akan beraksi di Ulaanbaatar, Mongolia dan membuka tirai saingan bertemu Laos pada 27 Oktober 2021, diikuti aksi kedua berdepan tuan rumah, Mongolia pada 29 Oktober 2021, sebelum menentang Thailand pada aksi terakhir pada 31 Oktober 2021.

Juara setiap kumpulan iaitu 11 pasukan akan disertai empat pasukan tempat kedua terbaik kumpulan dan juga tuan rumah, Uzbekistan bagi membentuk 16 pasukan terbaik bakal beraksi pada Piala Asia B-23 2022 yang dijadual berlangsung di Tashkent pada Jun 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Format Baharu Akan Digunakan Dalam Saingan Piala Suzuki AFF 2020

Liga Vietnam Mungkin Ditangguhkan Hingga Tahun 2022, 14 Kelab Berdepan Risiko Bankrap

Qatar Layak Ke Peringkat Suku Akhir CONCACAF Gold Cup 2021

Bologna Tidak Terburu-Buru Untuk Menjual Takehiro Tomiyasu