Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) semalam mengumumkan undian rasmi Piala AFF 2022 yang ibarat ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu akan berlangsung di Bangkok pada 30 Ogos ini.

Piala AFF kini memasuki edisi yang ke 14 dan akan dikenali sebagai Piala AFF Mitsubishi Electric 2022. Syarikat pembuatan peralatan elektronik dan elektrik terkemuka global dari Jepun, Mitsubishi Electric merupakan penaja utama kejohanan tersebut.

Lebih menarik, saingan yang menampilkan 10 pasukan bakal kembali dengan format lama yang mempunyai perlawanan timbal balik (Home & Away) seperti edisi tahun lalu. Ia bermakna perlawanan separuh akhir hingga final akan berlangsung di gelanggang sendiri.

Undian akan dibahagikan kepada dua kumpulan membabitkan lima pasukan – setiap pasukan akan beraksi dalam dua perlawanan di tempat sendiri dan dua lagi perlawanan di tempat lawan.

Presiden AFF, Jeneral Major Khiev Sameth berkata pengumuman mengenai undian rasmi Piala AFF 2022 menjadi langkah ke depan yang signifikan terhadap penganjuran temasya yang dijangka berlangsung pada hujung tahun ini.

“Kami percaya penyokong dan pasukan kebangsaan mereka turut berkongsi rasa keterujaan yang sama dengan kita.

“Undian ini akan menjadi titik permulaan kepada saingan bola sepak terbesar di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Tenggara SPORTFIVE, Malcolm Thorpe berkata pihaknya tidak sabar untuk menjayakan satu lagi edisi Piala AFF yang lebih gemilang seperti tahun sebelum ini.

“Dengan hanya empat bulan lagi sebelum Piala AFF 2022 membuka tirainya, kejohanan ini pasti amat dinanti-nantikan oleh penyokong yang mahu menyaksikan pasukan mereka beraksi di atas padang.

“Kami akan bekerjasama dengan semua ahli gabungan AFF untuk menjayakan edisi kali ini.” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Bola Sepak Asia melalui pautan dibawah.

Thailand Umum 3 Negara Yang Disahkan Menyertai King’s Cup 2022

Supachok Sarachat Sumbang Satu “Assist” Pada Aksi Pertama Bersama Consadole Sapporo

Malaysia Sah Dapat 2 Slot Automatik Ke AFC Champions League 2024-2025