Hari ini merupakan hari yang paling ditunggu-tunggukan oleh peminat bola sepak tempatan apabila undian pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bakal berlangsung pada pukul 5.00 petang ini di bangunan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil.

Berdasarkan mekanisme undian, 40 pasukan iaitu pasukan yang berada di ranking 1 hingga 34 asia serta 6 pasukan yang menang di pusingan pertama akan dibahagikan kepada 8 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 5 pasukan.

Hanya juara kumpulan dan 4 pasukan naib juara yang terbaik (12 pasukan) akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 serta layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia 2023.

Manakala baki pasukan yang tidak berjaya ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 dimana 24 pasukan akan dibahagikan dalam 6 kumpulan.

Setiap kumpulan mempunyai 4 pasukan namun hanya dua pasukan teratas kumpulan sahaja dapat tiket beraksi di Piala Asia 2023.

Malaysia dalam balang 4

Skuad Harimau Malaya yang kini berada di ranking 159 dunia selepas menewaskan Timor Leste di pusingan pertama bulan lalu akan diletakkan dalam balang 4 bersama Turkmenistan, Myanmar, Hong Kong, Yaman, Afghanistan, Maldives dan Kuwait.

IMG_20190717_110159_123

Itu bermakna setiap negara berpeluang bertemu pasukan gergasi asia yang diletakkan dalam balang 1 iaitu Iran, Jepun, Korea Selatan, Australia, UAE, Arab Saudi, China serta juara Piala Asia 2018, Qatar.

Singapura dan Indonesia yang tewas kepada lawan masing-masing dalam perlawanan persahabatan bulan lalu akan berada dalam balang 5 bersama 5 lagi pasukan ranking tercorot iaitu Nepal, Kemboja, Bangladesh, Mongolia dan Guam.

Bagaimanapun, nasib pasukan Macau dan Sri Lanka akan ditentukan kemudian oleh AFC berikutkan kemelut yang melanda Persatuan Bolasepak Macau (FA Macau).

Menurut kenyataan daripada FA Macau, mereka terpaksa menarik diri kerana bimbangkan keselamatan pemain yang akan ke Sri Lanka. Sebelum ini, telah berlaku krisis keselamatan di negara rantau Asia Selatan itu.

Tan Cheng Hoe enggan terlalu memikirkan lawan di pusingan kedua

Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjangkakan laluan pasukannya berliku dengan kemungkinan bakal diletakkan sekumpulan bersama pasukan gergasi Asia yang menduduki ranking lebih baik untuk berada dalam balang satu, dua mahupun tiga.

Beliau menyifatkan pertemuan dengan pasukan yang berkualiti seperti Australia, Iran, Jepun, Korea Selatan ataupun Arab Saudi bakal memberikan pendedahan terbaik kepada pemain muda negara.

harimau malaya
SUMBER: FAM

“Saya tidak terlalu memikirkan siapa lawan kita atau kumpulan mana yang kita akan main, pada saya pemain kena bersedia untuk menghadapi sesiapapun di peringkat ini.

“Buat saya, jika kita lawan pasukan kuat ia bagus untuk pendedahan dan pengalaman berguna kerana majoriti pemain kita adalah pemain muda. Perlawanan seperti itu berguna dalam mematangkan pemain apabila berdepan lawan kuat.

“Apa yang penting nanti adalah persediaan kita bagi menghadapi aksi kumpulan dan pemain juga mesti sentiasa dalam keadaan bersedia,” katanya dalam Arena Metro.

Pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 ini akan berlangsung pada 5 September 2019 hingga 9 Jun 2020 dan dijalankan secara format ’round robin’.