Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian Brad Maloney telah diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Myanmar dan Laos bagi Piala AFF B-23 2022 di Kemboja. Kejohanan itu dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 25 Februari 2022.

Piala AFF B-23 juga merupakan medan terbaik untuk skuad negara menguji kemampuan pemain baharu sebagai persiapan menghadapi Piala Asia B-23 anjuran AFC di Uzbekistan pada bulan Jun 2022.

3 juara kumpulan dan 1 naib juara kumpulan terbaik akan layak ke separuh akhir. Kumpulan A dihuni oleh tuan rumah, Kemboja bersama Timor Leste, Filipina dan Brunei manakala Kumpulan C dianggap sebagai ‘kumpulan maut’ kerana menempatkan Thailand, Vietnam dan Singapura.

Kemboja kali ini menawarkan stadium baharu yang lebih moden untuk menganjurkan semua perlawanan Piala AFF B-23. Dua venue yang menjadi lokasi perlawanan peringkat kumpulan ialah Stadium Morodok Techo dan Stadium Prince.

Stadium Morodok Techo ini baru siap sepenuhnya pada tahun ini sebagai persiapan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2023. Mempunyai kapasiti tempat duduk sebanyak 60,000, stadium ini dibuka secara rasmi pada bulan Mei lalu.

Syarikat sukan antarabangsa, SPORTFIVE dilantik sebagai rakan kongsi yang akan menyelia semua hak komersial dan media, termasuk dalam penglibatan penajaan pertandingan itu.

“Kami berbesar hati untuk menganjurkan Kejohanan AFF B23 di Kemboja pada 2022 dan berterima kasih kepada AFF atas kepercayaan yang diberikan untuk menganjurkan acara tersebut dengan jayanya.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kejohanan berlangsung dengan selamat untuk semua pasukan yang terlibat dan berharap dapat menjadi penganjur terbaik pada tahun depan,” kata Presiden Kemboja FA, Sao Sokha.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Undian Kelayakan Piala Asia 2023 Akan Berlangsung Pada Februari 2022

Jurulatih Singapura Letak Jawatan Selepas Gagal Bawa Pasukan Ke Final Piala Suzuki AFF 2020

Kerajaan Sulawesi Selatan Tawarkan 1 Unit Rumah Kepada Asnawi Dan Irfan Jaya Jika Muncul Juara Piala AFF 2020