Aston Villa pantas mencari pengganti kepada Steven Gerrard yang dipecat pada Jumaat lalu apabila telah mengumumkan Unai Emery sebagai ketua jurulatih baharu kelab tersebut.

Menerusi pengumuman yang dibuat di laman sesawang rasmi Aston Villa, Unai akan menyertai pasukan pada 1 November, sebaik sahaja segala urusan berkaitan permit kerja beliau diselesaikan.

Khidmat Unai ditagih Aston Villa selepas beliau cemerlang ketika mengemudi kelab Sepanyol, Villarreal muncul juara Liga Europa 2020/21 serta membawa The Yellow Submarine melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu.

Pencapaian hebatnya di pentas Eropah juga tidak boleh disangkal kerana beliau menjadi pengurus dengan kejuaraan Liga Europa terbanyak (empat kali).

Malah seperti diketahui, beliau turut pernah merasai pengalaman membimbing kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas bergelar pengurus Arsenal bermula 23 Mei 2018 hingga 29 November 2019.

“Aston Villa dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Unai Emery sebagai Ketua Jurulatih baharu kelab.”

“Seorang pengurus berpengalaman luas berkelas dunia yang telah menguruskan lebih 900 perlawanan, Unai juga pernah membimbing Arsenal, membawa The Gunners beraksi di perlawanan akhir Liga Europa (bertemu Chelsea).”

“Dia juga telah menikmati kejayaan di Sevilla dan Paris Saint-Germain. Di Seville, dia telah memenangi tiga kejuaraan Liga Europa berturut-turut antara tahun 2013 hingga 2016 sebelum menjulang kejuaraan Ligue 1 di Perancis serta dua Piala Perancis dan dua Trophée des Champions,” menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Aston Villa.

Sumber