Skuad bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) bakal ditemani dengan sorakan yang lebih padu di Stadium Darul Aman apabila dua kumpulan penyokong iaitu Ultras Kedah (UK09) dan KEPDA telah menerima sumbangan wang tunai daripada Presiden  KFA, Dato Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut kenyataan rasmi KFA, sumbangan tersebut bertujuan untuk membantu mereka dalam pembelian tambahan peralatan muzik yang sedia ada seperti gendang dan drum sebagai pembakar semangat dalam memberi sokongan yang padu kepada pasukan Kedah.

Ultras Kedah yang diwakili Encik Khairul Anuar dan Tasnim Zainudin manakala KEPDA diwakili Encik Awang Harun juga sempat berkongsi pandangan bersama Sanusi berkenaan medium sokongan mereka kepada pasukan Kedah pada setiap perlawanan.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat merancakkan lagi suasana di kalangan kelab penyokong di Stadium Darul Aman ataupun di gelanggan lawan setiap kali pasukan Hijau Kuning beraksi,” tulis kenyataan rasmi.

Ultras Kedah sememangnya dikenali sebagai sekumpulan penyokong yang setia bersama pasukan mereka sejak dahulu. Lebih menarik, mereka sendiri pernah menyampaikan sumbangan kepada KFA berjumlah RM1000 hasil penjualan merchandise rasmi pada tahun 2020.

Sumbangan tersebut diberikan untuk membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh KFA akibat daripada penularan wabak pandemik COVID-19 ketika itu. Baca artikel lebih lanjut di sini.

Walaupun nilai sumbangan tersebut mungkin sedikit, tetapi sekurang-kurangnya mereka telah melaksanakan tanggungjawab untuk membantu pasukan yang disayangi ketika ditimpa masalah.

Baca artikel lain mengenai kisah ultras pasukan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

UltraSel Muncul Sebagai Penaja ‘Titan’ Selangor FA, Dana RM10,000 Datang Dari Hasil Jualan Merchandise Rasmi

Ultras Tranung Tolak Pengurus Pasukan Tidak Mempunyai Merit

‘22 Buah Tangan’ Ultras Malaya Mewarnai Gelora Bung Karno