Bekas pengendali Johor Darul Ta’zim, Ulisses Morais dikhabarkan semakin hampir untuk kembali menjafi jurulatih pasukan Liga Malaysia musim ini.

Menurut salah seorang sumber yang memberi maklumat kepada Vocket FC, Morais menjadi salah satu calon untuk menjadi ketua jurulatih pasukan Terengganu FC.

Ulisses Morais
Sumber Gambar: JST

“Ulisses menjadi salah satu calon untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Irfan Bakti. Pengalaman beliau semasa membimbing Johor Darul Ta’zim sebelum ini menjadi kayu ukur kepada pemilihan beliau,” kata sumber tersebut.

Ketika mengendalikan JDT sejak Jun 2017, Morais berjaya memenangi dua kejuaraan bersama kelab tersebut. JDT muncul sebagai juara Liga Super musim 2017 dan mereka turut memenangi Piala Malaysia dengan menewaskan pasukan Kedah di pentas perlawanan akhir.

Namun, jodoh Ulisses Morais bersama JDT tidak panjang apabila beliau meletak jawatan pada Februari 2018 atas faktor keluarga.

JDT Piala Malaysia 2017
Sumber Gambar: Astro Awani

Setelah mengalami kekalahan mengejut kepada Petaling Jaya City FC dengan keputusan 5-3 pada Selasa lalu, Irfan Bakti mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan beliau selaku ketua jurulatih pasukan.

Ketika ini, Mohamad Nafuzi menjadi ketua jurulatih sementara pasukan.