Barcelona melayan kunjungan Eintractht Frankfurt dengan penuh keyakinan. Namun mereka dikejutkan oleh pelawat dengan aksi yang sangat bertenaga.

Barcelona tewas dalam keadaan sangat tragis di tangan kelab dari Jerman itu, di hadapaj penyokong sendiri di Nou Camp.

Filip Kostic menjadi nama yang akan diingati peminat Barcelona. Ini selepas pemain itu menjaringkan dua daripada tiga gol kemenangan untuk Eintracht Frankfurt, manakala satu lagi dicipta oleh Rafael Santos Borre.

Barca cuba melakukan kebangkitan daripada kedudukan 3 gol di belakang, malangnya 2 gol jaringan mereka adalah sudah terlalu lewat, pada masa kecederaan.

Kedua dua pasukan seri 1-1 pada perlawanan pertama. Namun dalam aksi di Nou Camp, Eintracht Frankfurt  mara ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 4-3 dan akan menentang West Ham.

Laporan perlawanan

Malam ngeri Barcelona bermula pada minit ke-2. Ini kerana Frankfurt diberikan penalti selepas Eric Garcia melanggar Jesper Lindstrom dalam kotak terlarang.

Kostic, yang menjadi pelaksana sepakan tersebut, berjaya memperdaya Marc-Andre ter Stegen.

Selepas ketinggalan satu gol di belakang Barcelona cuba untuk terus bangkit.

Namun gaya permainan mereka terlalu terbuka dan bocor di barisan pertahanan.

Barcelona kemudian terus ketinggalan 2 gol di belakang apabila Borre menjaringkan gol cantik pada minit ke-36.

Pemain Colombia itu merembat kencang dari luar kotak penalti untuk membolehkan pasukannya masuk ke bilik persalinan dengan kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua, Barcelona terus ghairah menyerang lawan. Namun skrip yang sama berlaku apabila Eintracth Frankfurt menghukum kesilapan mereka sekali lagi.

Sebelum itu, Barcelona tidak diberikan penalti apabila pemain Frankfurt menyentuh bola dengan tangannya di dalam kotak penalti. Pengadil melihat monitor VAR dan merasakan ianya bukan penalti.

Tidak lama selepas itu, Barcelona ketinggalan 3 gol di belakang. Kostic menerima hantaran daripada Daichi Kamada di ruang sangat besar di sebelah kiri.

Kostic kemudian melepaskan rembatan yang gagal digapai Ter Stegen untuk gol ketiga pelawat.

Frankfurt mendapat beberapa lagi peluang selepas itu. Antaranya percubaan daripada Kamada yang hampir melencong masuk.

Barcelona akhirnya berjaya menjaringkan gol menerusi jarak dekat Sergio Busquets pada minit ke-84. Bagaimanapun, VAR membatalkan gol ini kerana Busquets sudah berada dalam kedudukan ofsaid.

Busquets bagaimanapun tetap meletakkan namanya dalam senarai penjaring menerusi gol pada masa kecederaan 90+1.

Pada minit akhir masa kecederaan, Barca dihadiahkan sepakan penalti selepas Evan N’Dicka melakukan kekasaran dalam kotak penalti. N’Dicka turut dilayangkan kad kuning kedua dan Memphis Depay menjaringkan gol menerusi sepakan penalti.

Kedudukan 2-3 kekal untuk Eintracht Frankfurt mara secara agregat.