Impian Manchester United untuk mara ke separuh akhir Liga Europa (UEL) 2022/23 berkecai apabila tewas 0-3 (agregat 2-5) di tangan Sevilla pada aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Ramon Sanchez-Pizjuan Stadium, awal pagi tadi.

Prestasi dalam saingan domestik nyata tidak langsung mempengaruhi perlawanan ini dimana Sevilla bijak mengambil kesempatan di atas kesilapan-kesilapan mudah pemain pasukan pelawat walaupun anak buah Erik ten Hag lebih menguasai permainan.

Keadaan yang terus memberikan ruang kepada Sevilla untuk memburu kejuraan ketujuh dimana kelab itu merupakan juara terbanyak dalam sejarah UEL.

Sevilla tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila Youssef En-Nesyri menyudahkan dengan baik peluang terhidang pada minit kelapan.

Jaringan itu terhasil susulan kesilapan hantaran dilakukan ketua pasukan Manchester United, Harry Maguire di kawasan berbahaya yang membolehkan En-Nesyri menewaskan penjaga gol, David De Gea.

Lucas Ocampos kemudiannya berjaya membolosi gawang United pada minit ke-40 tetapi jaringan itu dibatalkan kerana Marcos Acuna yang melakukan hantaran lintang kepada Ocamps telah dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Kehampaan itu ditebus pada minit ke-47 selepas tandukan Loic Bade ketika menerima hantaran sepakan penjuru Ivan Rakitic tidak mampu diselamatkan De Gea.

Api perjuangan para pemain The Red Devils dimatikan Sevilla pada minit ke-81 apabila sentuhan pertama De Gea yang keluar daripada posisinya cukup mengecewakan bagi membolehkan En-Nesyri menolak mudah gol ketiga perlawanan.

Kemenangan bergaya ke atas Manchester United itu sekali gus menyaksikan Sevilla akan berhadapan gergasi Itali, Juventus di separuh akhir manakala AS Roma pula bakal bertemu Bayer Leverkusen.