Rakaman kamera litar tetutup di dalam terowong Stadium Wanda Metropolitano telah menunjukkan tentang insiden panas yang melibatkan pemain pemain Atletico Madrid dan Manchester City selepas kekalahan tuan rumah dalam aksi kalah mati suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

City mara ke separuh akhir hasil agregat 1-0 yang dicapai dalam perlawanan pertama. City bergelut sepanjang perlawanan berdepan dengan taktikal lasak dan keras daripada Atletico.

Skuad bimbingan Dieogo Simeone menjadi pasukan lebih baik dalam perlawanan ini terutama sekali pada separuh masa kedua. Di mana Atletico mendapat beberapa peluang keemasan.

Tetapi ketegangan semakin memuncak pada penghujung perlawanan, dengan pemain pertahanan Atleti, Felipe dilayangkan kad kuning kedua kerana tindakan bodohnya ke atas Phil Foden.

Felipe sebenarnya sudah melakukan bentesan bersih, namun dia melakukan tindakan susulan dengan menyepak kaki Foden.

Felipe terus memaki hamun Foden menuduh pemain itu berlakon. Dan kemudian giliran Stefan Savic – bekas pemain City – bengang dan cuba menyeret Foden bangkit berdiri semula.

Savic malah dilihat cuba menanduk Raheem Sterling dan menarik rambut Jack Grealish.

Insiden panas itu berlarutan sampai ke terowong ketika kedua dua pasukan menunju ke bilik persalinan.

Dalam rakaman yang diambil daripada UEFA, Savic yang marah boleh dilihat masih cuba untuk mendapatkan Grealish. Mereka berdua saling bertikam lidah dengan kata kata kesat.

Selain itu, pemain pertahanan sisi Atletico, Vrsaljko melemparkan objek ke arah pemain dan kakitangan City dan kelihatan meludah ke arah mereka dalam adegan yang sangat menjengkelkan.

Sebaliknya, Kyle Walker yang cedera terpaksa dihalang oleh rakan sepasukan Ederson daripada terlibat dalam insiden kekacauan itu.

Lapan pegawai polis bergegas pergi ke bahagian atas terowong untuk meredakan kekacauan yang telah tercetus.

UEFA pastinya akan menyiasat insiden ini dan tindakan mungkin akan diambil berdasarkan bukti video yang jelas.

Ini bukan kali pertama kes serangan di terowong berlaku musim ini. Sebelum ini pemilik PSG telah cuba menyerang pengadil ketika di Bernabeu kerana bengang.