Manchester United memerlukan inspirasi Cristiano Ronaldo untuk mencatatkan kemenangan pertama mereka dalam UCL pada musim ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Old Trafford, Man United diberikan malam yang sukar oleh Villarreal. Di mana pasukan lawan mereka itu nampak lebih bahaya pada separuh masa pertama, cuma tumpul sahaja di hadapan gol.

Man United bergelut dengan sistem bertahan ketika serangan balas oleh pasukan Unai Emery.

Diogo Dalot menjadi titik lemah kepada pertahanan United. Varane turut melakukan kesilapan yang hampir dihukum oleh Paco Alcacer.

Man United akhirnya dihukum jua pada separuh masa kedua menerusi Paco Alcacer pada minit ke-53.

Skuad Unai Emery kemudian mengendurkan tempo mereka dengan cuba menarik Man United masuk ke zon mereka untuk mereka menyerang balas.

Pendekatan itu ternyata memakan diri. Man United mulai mencipta lebih banyak peluang dan percubaan bahaya.

Pada minit ke-60, Alex Telles membidik gol dengan voli cantik selepas menerima umpanan daripada sepakan bola mati Bruno Fernandes.

Man United terus berusaha mencari gol kemenangan. Villarreal pula lebih berusaha menghampakan United dengan cuba membawa 1 mata dari Old Trafford.

Keinginan dan semangat Man United adalah perkara yang memberikan perbezaan besar dalam perlawanan ini.

Jesse Lingard hampir menjaringkan gol ketika menerima hantaran Ronaldo, namun percubaannya ditepis Rulli.

Cavani turut memiliki peluang keemasan ketika menanduk bola dari jarak dekat, namun tidak masuk.

Pada masa kecederaan, Villarreal terlalu kasual dan bola dirampas oleh Cavani ketika mereka memikirkan bola itu tidak ada pemain United yang mahu mengejarnya.

Cavani memberikan bola kepada Fred yang terus melakukan hantaran lintang yang disambut Ronaldo.

Ronaldo menanduk kepada Lingard yang kemudian dicabar pemain lawan, memaksanya menolak semula bola kepada Ronaldo.

Dalam keadaan dia tidak dikawal, Ronaldo merembat deras bola yang tidak mampu dikeluarkan oleh Rulli dan masuk.

Villareal ternyata tidak ada masa lagi untuk membalas gol itu dan Man United menang 2-1.

Peminat di Old Trafford menyanyikan lagu Viva Ronaldo mengiringi pemain Portugis itu masuk ke bilik persalinan.

Ternyata Ronaldo memang pemain yang masih berada di tahap tertinggi dalam permainannya dan masih memiliki magisnya terutama sekali dalam pertandingan UCL yang menjadi kegemarannya.