Liverpool terselamat daripada mimpi ngeri separuh masa pertama menentang Villarreal untuk mara ke final Liga Juara-Juara Eropah.

The Reds telah menang dengan selesa 2-0 pada perlawanan pertama tetapi kelebihan agregat itu dihapuskan selepas hanya 41 minit di El Madrigal yang penuh dengan sorakan penyokong yang bersemangat ketika pasukan Sepanyol itu memberikan tekanan luar biasa kepada Liverpool.

Sebelum perlawanan Unai Emery berikrar bahawa mereka akan memberikan mimpi ngeri buat Liverpool di El Madrigal.

Malangnya, mimpi ngeri sebenar Villarreal adalah Geronimo Rulli pada separuh masa kedua. Penjaga gol tersebut melakukan 3 kesilapan maut yang mencetuskan gol Liverpool.

Boulaye Dia menjaringkan gol pertama Villarreal selepas hanya tiga minit, menyempurnakan hantaran Etienne Capoue, sebelum bekas pemain tengah Arsenal, Francis Coquelin menanduk masuk hantaran lintang Capoue.

Ianya membuatkan The Reds kelihatan gelisah.

Namun pada separuh masa kedua, Liverpool mengeluarkan karakter sebenar yang diperlukan.

Fabinho meletakkan mereka kembali di hadapan secara agregat menerusi rembatan yang melepasi kaki penjaga gol Villarreal Geronimo Rulli pada minit ke-62.

Rembatan itu taklah terlalu deras, namun refleks dan respon Rulli sangat teruk dalam gol tersebut.

Luis Diaz, yang masuk pada separuh masa mengubah permainan selepas dia menggantikan Diogo Jota, memulihkan kelebihan agregat dua gol Liverpool dengan tandukannya.

Diaz sekali lagi menjadi nadi penting Liverpool. Pembelian sangat berbaloi The Reds pada Januari lalu.

Sadio Mane memastikan tempat Liverpool ke final Liga Juara-Juara Eropah ketiga mereka dalam lima musim dengan gol ketiga selepas merampas bola daripada Rulli.

Penjaga gol Villarreal itu cuba melakukan ‘sweeping’ di tengah padang. Namun hanya mampu melihat Mane berlari ke gawang terbuka tanpa penjaga gol. Mane tidak melakukan kesilapan langsung.

Mane menyamai rekod Frank Lampard dengan 15 gol dalam pusingan kalah mati UCL, terbanyak dari kalangan pemain kelab Inggeris.

Mane meneruskan prestasi cemerlangnya pada bulan lalu.

Villarreal menamatkan permainan dengan 10 pemain dengan Capoue dibuang padang lewat atas dua kesalahan kad kuning.

The Reds akan bermain sama ada Manchester City atau Real Madrid di Stade de France di Paris pada hari Sabtu, 28 Mei.