Inter Milan menjadi pasukan pertama menewaskan Liverpool di Anfield musim ini, dan menjadi yang pertama menewaskan Liverpool dalam aksi UCL musim ini.

Liverpool turun dengan kelebihan agregat 2-0 daripada perlawanan pertama. Skuad Jurgen Klopp tampil dominan dari sepak mula. Namun Inter Milan membuktikan kekentalan mereka ketika bertahan.

Pada minit ke-15, Van Dijk menanduk sepakan penjuru Trent Alexander Arnold namun bola dengan mudah ditangkap oleh Handanovic.

Peluang paling hampir untuk Liverpool mendapatkan gol pada separuh masa pertama adalah menerusi Joel Matip. Di mana pemain pertahanan tersebut menanduk sepakan percuma Trent Alexander Arnold dan bola terkena palang.

Arnold terus menjadi ancaman Inter Milan menerusi bola mati. Beberapa minit selepas itu sepakan percuma beliau hampir menghasilkan gol, malangnya tandukan Van Dijk tersasar.

Sebelum wisel rehat, Alisson melakukan save penting untuk menafikan hantaran oleh Hakan Calhanoglu.

Alexis Sanchez agak bernasib baik pada separuh masa pertama apabila bentesan dengan tapak ke atas Thiago – di mana dia tidak mendapat kad merah.

Pada separuh masa kedua, Liverpool mendapat peluang gol menerusi Mohamed Salah pada minit ke-51, namun percubaan pemain Mesir itu terkena tiang.

Inter Milan kemudian bermain bola sepak terbaik mereka dalam perlawanan ini. Mereka menyerang dan mengasak Liverpool. Hasilnya, Lautaro Martinez melakukan percubaan cantik menewaskan Alisson dari luar kotak penalti pada minit ke-61.

Namun hanya kira kira 2 minit selepas gol itu, Inter dikurangkan kepada 10 pemain selepas Alexis Sanchez melakukan tindakan follow through  yang menyaksikan kakinya menapak Fabinho.

Walaupun memiliki kelebihan seorang pemain, Liverpool masih gagal mendapatkan gol. Peluang terbaik mereka hadir menerusi Luis Diaz yang memperdaya pertahanan lawan di dalam kotak penalti. Namun Arturo Vidal melakukan hadangan sangat baik sekali menafikan percubaan Diaz.

Tamat perlawanan, Liverpool 0 Inter 1.

Liverpool mara secara agregat 2-1.