Liverpool dan Real Madrid membuat perhitungan terakhir dalam aksi final Liga Juara Juara Eropah.

Hasrat Mohamed Salah untuk membalas dendam kekalahan pada 2018 sekali lagi tak kesampaian.

Laporan perlawanan

Liverpool memulakan perlawanan dengan aksi sangat dominan. Mereka memberikan Real Madrid hanya sedikit penguasaan bola dalam 15 minit pertama.

Pada minit ke-16, Courtois menyelamatkan gawang Real Madrid dengan menghentikan percubaan Mohamed Salah.

Tidak lama selepas itu Sadio Mane pula melakukan percubaan bahaya. Sekali lagi Courtois menyelamatkan Real Madrid daripada detik cemas.

Liverpool kemudian terus mendominasi perlawanan.

Namun pada akhir babak separuh masa pertama Karim Benzema menjaringkan gol daripada situasi pergelutan di hadapan gol.

Malang buat Madrid kerana VAR membatalkan gol tersebut kerana ofsaid.

Bersambung pada separuh masa kedua, Liverpool mengasak lebih awal. Percubaan Mohamed Salah dihadang oleh David Alaba.

Tidak lama selepas itu, pada minit ke-59, Vinicius Jr meletakkan Real Madrid di hadapan. Dia yang tak dikawal di belakang Trent Alexander Arnold telah menyumbat mudah hantaran Fede Valverde yang mencetuskan gol terbuka.

Mohamed Salah kemudian cuba membalas gol tersebut dengan lencongan yang cantik. Namun  Courtois berjaya menafikannya dengan tepisan yang kemas.

Seminit kemudian Mo Salah melakukan percubaan bahaya sekali lagi, dan sekali lagi juga Courtois menafikannya.

Diogo Jota melakukan larian overlap yang kemas dan melakukan tampanan cantik tetapi percubaannya dinafikan oleh Courtois yang terus kebal.

Minit ke-82, Mo Salah dalam keadaan jarak dekat cuba menewaskan Courtois tetapi sekali lagi penjaga gol Belgium itu terus kebal dengan tampanan dengan tangannya yang kuat.

Tiada tambahan gol dicatatkan selepas itu. Dan Real Madrid berjaya membawa pulang trofi UCL ke-14 dalam sejarah kelab mereka.

Liverpool menamatkan musim ini dengan 2 piala domestik.

Sementara Real Madrid menamatkan kempen dengan 1 La Liga dan 1 UCL.