Pep Guardiola berkata “mungkin saya tidak cukup bagus” untuk membawa Manchester City menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah, tetapi pengurus itu menegaskan bahawa pasukan itu akan terus berusaha untuk memenangi pertandingan itu.

City disingkirkan pada separuh akhir oleh Real Madrid pada hari Rabu, dengan agregat 6-5, setelah mendahului 5-3 secara keseluruhan dan 1-0 pada malam itu dengan berbaki beberapa saat di Bernabéu sebelum masa tambahan.

Guardiola berbangga dengan pasukannya walaupun terkejut dengan kekalahan itu tetapi mempersoalkan kemampuan dirinya selepas kekecewaan keenam dalam pertandingan itu dalam tempoh enam tahun mengendalikan City.

Guardiola berkata: “Mungkin saya tidak cukup bagus untuk membantu pasukan ini untuk melakukannya.”

“Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku dengan pemain atau pengurus lain. Kami rapat – mereka tahu, kami tahu – tetapi yang penting kami akan mencuba lagi musim depan, dan sekali lagi.”

Guardiola ditanya sama ada skuadnya mampu memenangi Liga Juara-Juara.

“Entahlah. Ia satu soalan yang saya tidak boleh jawab,” katanya.

“Sebelum Madrid saya [juga] tidak tahu. Kadang-kadang anda bertanya kepada saya soalan tetapi saya tidak mempunyai jawapan untuk semua soalan anda. Bola sepak adalah sangat tidak dapat diramalkan. Kami melihatnya sendiri.”

Guardiola menyatakan bahawa projek di Manchester City oleh konsortium Abu Dhabi bukannya menekankan kejuaraan Liga Juara Juara Eropah semata mata.

“Mungkin saya salah, tetapi saya mempunyai perasaan bahawa orang dari Abu Dhabi membeli kelab ini dan melabur dalam kemudahan yang luar biasa ini dan pemain seperti banyak kelab lain di dunia untuk memiliki apa yang telah kita lalui pada tahun-tahun sebelumnya – bukannya untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah semata mata.”

“Mereka melakukannya untuk terus berada di sana dalam semua pertandingan setiap musim dan bersaing dalam semua pertandingan sehingga akhir. Kami mahu melakukannya.”

Guardiola berkata dia tidak bercakap dengan pemainnya dalam dua hari selepas kekalahan itu.

“Kami tidak bercakap. Tiada kata-kata yang dapat membantu apa yang kita semua rasa. Ia hanya soal masa, tidur sebaik mungkin dan fikirkan sasaran seterusnya.”

“Esok [Sabtu] adalah hari pertama kami bersama dan kami akan bercakap tentang siapa kami sebagai satu pasukan, apa yang telah kami lakukan di separuh akhir, betapa baiknya kami bukan sahaja dalam dua perlawanan ini tetapi sepanjang musim dan cuba lakukannya sepanjang minggu lepas.”

“Ia mungkin salah satu lagi momen penting sejak saya menjadi pengurus, saya amat berbangga berada di kelab dan organisasi ini, dan sehingga hari terakhir kami di sini, kami memberikan segalanya bersama-sama.”

City menjadi tuan rumah kepada Newcastle pada hari Ahad. Mereka mendahului satu mata ke atas Liverpool dengan 12 mata sahaja lagi untuk dimainkan ketika mereka berhasrat untuk mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

Guardiola ditanya sama ada kekalahan di tangan Real membuatnya lebih lapar untuk kejayaan.

“Tidak,” katanya. “Saya sentiasa kelaparan.”

Guardiola, yang menafikan pasukannya gagal, tidak mahu pemainnya memadamkan pengalaman tersebut.

“Mereka tidak perlu melupakannya,” katanya. “Bagaimana kita mahu melupakannya? Kami akan bermain menentang Newcastle memikirkan perkara itu – sudah tentunya.”

“Apa yang kami lalui di Madrid, ia akan membantu kami sebuah kelab, sebagai sebuah pasukan pada masa hadapan. Orang sekarang tidak sedar tetapi saya memberitahu anda, ia adalah bagus untuk kami.”

“Yang paling teruk ialah tidak cuba untuk menjadikannya kenyataan. Saya ingin memenangi Liga Juara-Juara Eropah, berada di final di Paris, untuk memastikan kami akan menjadi lebih baik pada masa hadapan. Tetapi kami tidak akan berubah.”