Kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) melakar kemenangan bergaya selepas berjaya membelasah Barcelona 4-1 pada aksi peringkat 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 yang berlangsung di Nou Camp, sebentar tadi.

Meskipun turun tanpa dua tonggak utama, Neymar dan Angel Di Maria yang mengalami kecederaan, ia tidak langsung menganggu rentak skuad bimbingan Mauricio Pochettino untuk menjelmakan corak permainan kemas.

Kylian Mbappe nyata menjadi watak paling penting pada perlawanan ini apabila bintang berusia 22 tahun itu berjaya meledakkan hatrik.

Skuad tuan rumah bagaimanapun terlebih dahulu berada di hadapan apabila ketua pasukan, Lionel Messi memberikan kelebihan buat The Blaugrana menerusi sepakan penalti pada minit ke-27.

Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil perlawanan dari Belanda, Bjorn Kuipers kepada Barcelona berikutan kekasaran dilakukan Layvin Kurzawa terhadap pemain tengah, Frenkie De Jong dalam kawasan penalti.

Messi tidak melepaskan peluang yang terhidang meskipun penjaga gol PSG, Keylor Navas sudah dapat membaca dengan tepat arah sepakan pemain paling berpengaruh buat Barcelona itu.

Kelebihan itu hanya mampu bertahan lima minit sahaja selepas Mbappe dengan lincah berjaya melepasi kawalan pertahanan tuan rumah setelah menerima umpanan menarik daripada Marco Veratti.

Pemenang Piala Dunia 2018 itu kemudiannya melepaskan rembatan padu dari jarak dekat yang gagal dihalang penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen.

Berselang tiga minit kemudian, Kurzawa hampir meletakkan PSG di hadapan tetapi percubaannya dalam kawasan penalti ditepis keluar ter Stegen bagi menyelamatkan gawangnya daripada terus dibolosi.

Antoine Griezmann juga terlepas peluang terbaik untuk meletakkan nama selaku penjaring apabila larian solo dilakukannya dari kawasan tengah ke kawasan penalti gagal disudahkan dengan baik.

Aksi babak kedua menjadi saksi kehebatan PSG apabila tiga daripada lima percubaan tepat dicipta berjaya menghasilkan jaringan manakala Barcelona pula hanya mampu memperolehi satu percubaan tepat.

Jaringan kedua finalis musim lalu itu menjelma pada minit ke-65 apabila Alessandro Florenzi berjaya melepasi perangkap ofsaid setelah menerima umpanan menarik daripada Leandro Paredes dimana beliau kemudiannya melakukan hantaran lintang di hadapan pintu gol Barcelona.

Kegagalan Gerard Pique untuk mengeluarkan bola daripada kawasan berbahaya telah memberikan ruang secukupnya buat Mbappe untuk melakukan percubaan yang sekali gus menjadi gol kedua peribadi buatnya pada perlawanan ini.

Paredes terus memainkan peranan hebatnya dalam membuka ruang buat jentera serangan PSG bagi mendapatkan jaringan apabila sepakan percuma yang diambil berjaya ditanduk masuk Moise Kean bagi mengukuhkan kedudukan buat pasukan pelawat pada minit ke-70.

Tidak cukup dengan tiga gol tersebut, Mbappe menambah jaringan keempat ketika aksi hanya berbaki lima minit untuk ditamatkan [tidak termasuk masa kecederaan] yang turut merupakan hatrik buatnya.

Kelebihan tiga gol serta empat jaringan di tempat lawan dimiliki memberikan gambaran jelas peluang PSG untuk melangkah ke peringkat suku akhir begitu cerah tetapi skuad bimbingan Ronald Koeman itu pasti mahu melakukan keajaiban di Parc des Princes, 11 Mac nanti.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Elemen Futsal Ke Bola Sepak Jadi Senjata Utama Natanael Siringo Ringo Di Kelantan FC

Ching Hong Aik: Anak Melaka Yang Lakar Kegemilangan Bersama Negeri Sembilan

Mohd Jaya Kassim: Karier Singkat Yang Dirindui Penyokong Sabah