Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu (UAE FA) semalam telah mengumumkan 27 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat di Bahrain bermula 25 Ogos ini sebagai persiapan menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan depan.

Dalam senarai 27 pemain tersebut, 12 daripadanya merupakan pemain skuad Piala Asia 2019 UAE manakala baki 15 pemain merupakan muka baharu yang dipilih berdasarkan prestasi semasa dalam saingan liga domestik. Turut berada dalam senarai itu ialah bintang terkemuka asia, Omar Abdulrahman.

Omar yang menyertai Al Jazira pada minggu lepas baru pulih daripada kecederaan anterior cruciate ligament (ACL). Kecederaan itu memaksa beliau berehat panjang sehingga terlepas mewakili negaranya dalam saingan Piala Asia pada awal tahun ini.

Skuad kendalian Bert Van Marwijk itu turut akan menghadapi 2 perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka pada 30 Ogos dan Republik Dominika (31 Ogos) sebelum terbang ke Kuala Lumpur untuk menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September.

Pengurus pasukan tersebut, Ismail Rashid menyifatkan pemilihan dua pasukan itu adalah tepat kerana mereka berada sama taraf dengan Malaysia yang kini berada di ranking 159 dunia.

“Kami mahu mencuba taktikal dan corak permainan baharu menentang dua pasukan ini dibawah kendalian Marwijk,” katanya seperti dipetik dalam Khaleej Times. 

EAUPWjvX4AU3QUo

Mengulas mengenai persiapan menghadapi Malaysia pada perlawanan pertama kempen kelayakan Piala Dunia 2020/Piala Asia 2023, Ismail yakin dengan kemampuan barisan pemain yang dipilih kali ini setelah melakukan latihan intensif di eropah pada bulan Julai lepas.

“Kami telah mengadakan sesi latihan fasa pertama di Salzburg, Austria pada 13 hingga 21 julai lalu, dan barisan jurulatih kini sudah mempunyai gambaran kesebelasan utama yang akan dipilih nanti.

“Kami mempunyai ramai pemain berpengalaman dan yakin mereka akan lebih bersedia dari segi fizikal dan mental. Perlawanan pertama ini sangat penting, keputusan yang bagus akan meningkatkan keyakinan pemain,” jelasnya.

Sumber