Emiriah Arab Bersatu (UAE) meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya menundukkan Thailand 3-1 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Zabeel, sebentar tadi.

Kemenangan ini juga turut melunaskan dendam UAE yang tunduk 1-2 di tangan lawan sama pada aksi pertama di Bangkok, dua tahun lalu.

Meskipun dilihat tidak diberikan laluan mudah pada perlawanan ini, UAE jelas menggunakan kelebihan individu yang dimiliki barisan pemain mereka untuk meraih kemenangan.

Aksi pada awal babak pertama memperlihatkan Thailand memberikan kesukaran buat tuan rumah tetapi skuad kendalian Bert Van Marwijk itu masih mampu untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-14.

Jaringan tersebut berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan, Suphan Tongsong yang gagal mengeluarkan bola dengan baik sekali gus memberikan ruang buat Caio Canedo untuk melakukan percubaan ‘first timer’ bagi membolosi gawang Thailand dikawal Siwarak Tedsungnoen.

Memasuki minit ke-19, Thailand mendapat peluang terbaik susulan hantaran lintang daripada Suphanat Mueanta ke dalam kawasan penalti, bagaimanapun percubaan Ekanit Panya sekadar terkena tiang gol.

Aksi selepas itu menyaksikan UAE terus memberikan tekanan hebat ke arah kubu Thailand dan hampir menambah jaringan pada minit ke-27 menerusi peledak berbisa, Ali Ahmed Mabkhout.

Berikutan kesilapan Sarach Yooyen yang melakukan tandukan lemah ke belakang, Ali meluru pantas ke hadapan dan hanya berhadapan dengan Siwarak tetapi cubaannya untuk melakukan percubaan lambung dihalang penjaga gol veteran itu.

Kedudukan berubah berselang enam minit kemudian apabila pemain naturalisasi, Fabio Virginio De Lima menanduk masuk bola hasil hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Thailand dilakukan Bandar Mohammed Saleh Al-Ahbabi.

Perlawanan babak kedua pula menyaksikan Thailand lebih menekan pasukan tuan rumah dan terdapat usaha untuk melakukan kebangkitan apabila Supachok Sarachat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-46.

Bagaimanapun, tandukan dilakukan pemain berusia 23 tahun itu berjaya dinafikan pemain pertahanan, Mahmoud Khamis di atas garisan gol bagi menyelamatkan keadaan.

Thailand bagaimanapun hampir dibolosi menerusi sepakan percuma apabila rembatan menarik Bandar Al-Ahbabi berjaya ditepis Siwarak pada minit ke-51.

Berselang empat minit kemudian, Thailand akhirnya memperoleh jaringan yang diharapkan apabila Suphanat Mueanta berjaya menanduk masuk bola selepas beliau menerima hantaran menerusi tandukan daripada Narubadin Weerawartnodom.

Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan, pemain gantian, Mohammad Juma menolak mudah bola hasil hantaran baik dilakukan Ali Mabkhout untuk perlawanan berkesudahan dengan 3-1 memihak tuan rumah.