Persatuan Bola Sepak Emiriyah Arab Bersatu (UAE FA) baru-baru ini mengumumkan penyokong dibenarkan masuk untuk Liga domestik di negara itu bermula dengan perlawanan Final Piala Presiden diantara Shabab Al Ahli menentang Al Nasr pada minggu depan.

Ini kerana mereka telah dapat kelulusan daripada kerajaan untuk kemasukan penyokong sebanyak 30 peratus di Stadium. Justeru itu, UAE FA mahu menggunakan peluang ini untuk memohon kebenaran penyokong tempatan dan luar negara menghadiri perlawanan penting iaitu Kelayakan Piala Dunia 2022 di Dubai pada bulan Jun nanti.

Pada permulaan, hanya penyokong yang sudah menerima suntikan vaksin dan mendapat keputusan negatif dalam ujian saringan COVID-19 sahaja dibenarkan masuk ke stadium.

“Ini keputusan yang besar. Kami sentiasa bersedia tetapi kami memerlukan kebenaran daripada pihak berwajib dan Pengurusan Bencana Nasional yang bekerjasama dengan kami pada setiap langkah.

“Pada masa ini kami memutuskan untuk membenarkan penyokong hadir [pada perlawanan liga domestik].

“Jika semuanya berjalan lancar, kami akan menuju ke langkah kedua iaitu kehadiran penyokong untuk Kelayakan Piala Dunia dan kemudian, Liga Teluk Arab,” kata Setiausaha Agung UAE FA, Mohammed Hazzam Al Dhaheri dipetik dalam The National.

Perlawanan kumpulan G kelayakan Piala Dunia dijalankan secara karnival di Dubai kerana ia dilihat sebagai langkah yang sesuai bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 dan masalah sekatan perjalanan.

Hanya tinggal 3 lagi baki perlawanan dan ia bakal menentukan wakil pasukan ke pusingan ketiga dan slot Piala Asia 2023.

UAE kini berada di kedudukan ke 4 dalam kumpulan G dibelakang Vietnam, Malaysia dan Thailand. Sudah tentu mereka amat mengharapkan sokongan padu daripada para penyokong untuk memburu tiket ke Piala Dunia 2022.

stadium UAE
Dua stadium yang dipilih sebagai Venue Kelayakan Piala Dunia 2022 kumpulan G.

“Ini adalah pertandingan yang paling penting dan penyokong wajib kembali.

“Saya selalu mengatakan bahawa para peminat adalah No 1 di padang dan kami selalu gembira apabila mereka kembali. Tanpa peminat, anda dapat melihat bahawa stadium hampir mati dan sunyi. Kami tidak mahu lagi dengar bunyi kipas dan cengkerik melalui kaca TV.

“Jadi, kita harap mereka hadir ke stadium menyokong pasukan kebangsaan.  Kita semua akan bekerja keras. Mereka layak dapat peluang ini,” tambah Mohammed Hazzam.

Aksi menentang Harimau Malaya merupakan perlawanan pertama UAE di hadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium Zabeel pada 3 Jun 2021.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Bek Kental Penang, Ryuji Utomo Dipanggil Sertai Skuad Indonesia Hadapi Kelayakan Piala Dunia 2022

Terengganu Bakal Berdepan Persipura Jayapura Dalam AFC Cup 2021 Selepas Shan United Tarik Diri

Media Jepun Ini Dedahkan Honda Keisuke Terima Tawaran Untuk Beraksi Dengan Pasukan Selangor

Kelab Singapura, Lion City Sailors Labur RM31 Juta Bina Fasiliti Latihan Canggih