Emiriah Arab Bersatu (UAE) optimis mereka mampu untuk mengungguli kumpulan G saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sekaligus mara ke pusingan seterusnya.

Presiden Persatuan Bola Sepak UAE, Marwan Bin Galita berkata pengalaman yang dimiliki oleh pengendali pasukan dari Belanda, Bert van Marwijk serta adunan pemain muda dan senior menjadi faktor utama untuk menentukan kejayaan pasukan dalam saingan peringkat kelayakan kali ini.

Marwan Bin Galita
Marwan Bin Galita (Kanan)
Sumber Gambar: FM Middle East

“Kami mempunyai ketua jurulatih yang mampu untuk mencipta adunan mantap antara pemain muda serta pemain senior. Kami yakin Bert van Marwijk mampu untuk mencapai keputusan positif untuk pasukan sekaligus mara ke pusingan seterusnya,” kata Marwan menurut laporan GulfToday.

Seorang lagi wakil dari FA UAE, Dr Hassan Suhail berpendapat hasil undian adalah seimbang kerana pasukan Asia Tenggara juga mempunyai kualiti yang tersendiri.

Pada undian yang berlangsung di AFC House semalam, pasukan yang pernah tampil dalam temasya Piala Dunia edisi 1990 itu diundi bersama empat pasukan dari rantau Asia Tenggara iaitu Vietnam, Thailand, Malaysia dan Indonesia. UAE merupakan salah satu daripada 34 pasukan yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama dan terus beraksi di pusingan kedua.

Keputusan undian WCQ-01

Sebagai persiapan menjelang siangan kelayakan, anak-anak buah van Marwijk sedang menjalani sesi latihan di Munich, Jerman sebelum bertolak ke Salzburg, Austria dimana para pemain akan menjalani tempoh seminggu berlatih sebelum kembali ke Dubai pada 22 Julai.

UAE akan bertandang ke Kuala Lumpur bagi menghadapi Malaysia pada perlawanan pertama saingan peringkat kelayakan. Perlawanan tersebut dijadual berlangsung pada 10 September ini.

Malaysia mempunyai catatan yang tidak begitu baik apabila berdepan dengan pasukan dari Timur Tengah itu apabila pernah dibelasah dengan keputusan 10-0 pada 2015 serta perlawanan antara skuad B-23 tahun kedua-dua negara di Stadium Shah Alam tahun lalu diakhiri dengan pergaduhan antara pegawai serta pemain kedua-dua pasukan.