Stesen TV9 terus menyediakan program sukan yang menarik khas buat semua peminat bola sepak tempatan. Kali ini mereka akan menyiarkan perlawanan Piala Dunia Kelab FIFA 2022 secara langsung dari Maghribi.

Ia bermula dengan dua perlawanan separuh akhir melibatkan kelab Brazil, Flamengo menentang wakil Asia, Al Hilal dari Arab Saudi pada 8 Februari (Rabu) serta wakil Afrika, Al Ahly menentang kelab terkemuka dari Sepanyol, Real Madrid pada 9 Februari (Khamis).

Semua perlawanan ini berlangsung pada pukul 3.00 pagi waktu Malaysia. Jangan bimbang jika anda terlepas peluang menyaksikan perlawanan tersebut kerana TV9 turut akan menyiarkan siaran ulangan pada pukul 10.30 malam (8 Februari) untuk perlawanan Flamengo menentang Al Hilal dan 8.30 malam (9 Februari) untuk perlawanan Al Ahly menentang Real Madrid.

Sudah tentu ramai peminat dan penonton tidak sabar melihat aksi-aksi hebat daripada pemain terkemuka dunia seperti Karim Benzema, Luka Modric, Vinicius Junior, Toni Kroos dan Marco Asensio.

Bagi peminat bola sepak Asia, mereka sudah tentu akan menyokong Al Hilal yang merupakan juara AFC Champions League (ACL) sebanyak 4 kali dan berharap kelab dari Arab Saudi itu dapat mencipta kejutan dalam penampilan ketiga mereka tahun ini.

Dua pasukan yang menang akan mara ke perlawanan akhir manakala pasukan yang tewas akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari Sabtu ini.

Lebih menarik, aksi final dan penentuan tempat ketiga ini turut disiarkan secara langsung menerus saluran TV9 bermula pada pukul 11.30 malam pada hari Sabtu, 11 Februari dan 3.00 pagi pada hari Ahad, 12 Februari 2022.

Manakala siaran ulangan untuk perlawanan akhir Piala Dunia Kelab FIFA adalah pada pukul 10.00 malam pada hari Ahad, 12 Februari.

Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!