Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Wakil Afrika, Tunisia melakukan kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan, Perancis 1-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 di Qatar sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Dalam perlawanan ini, Perancis melakukan rombakan dengan menurunkan skuad kedua tanpa kelibat tonggak utama seperti Benjamin Pavard, Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Antoine Griezmann.

Juara bertahan Piala Dunia itu sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 lebih awal selepas menang 4-1 ke atas Australia dan mengatasi Denmark 2-1 dalam perlawanan sebelum ini.

Separuh daripada pemain yang beraksi menentang Denmark ditukar, dengan Steve Mandanda menggantikan penjaga gol utama, Hugo Lloris manakala Kingsley Coman menggantikan Ousmane Dembele di bahagian depan.

Tunisia beraksi lebih bersemangat sejak minit awal perlawanan dan mereka berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 8 namun dibatalkan oleh pengadil kerana berada dalam kedudukan ‘offside’.

Perancis hanya sempat melakukan 2 percubaan sahaja di separuh masa pertama dan ini merupakan rekod percubaan yang paling sedikit mereka di peringkat kumpulan Piala Dunia sejak 1966.

Walaupun separuh masa pertama berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan namun Tunisia bangkit dengan lebih garang di separuh masa kedua dan kerap kali memberi masalah kepada benteng pertahanan Perancis.

Usaha mereka mengandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila Wahbi Khazri melarikan bola ke kawasan kotak penalti sekaligus menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 58.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pengendali Perancis, Didier Deschamps terpaksa melakukan 3 pertukaran pemain dengan memasukkan bintang utama, Kylian Mbappe, Andrien Rabiot dan William Saliba.

Kemasukan Mbappe banyak membantu merancakkan jentera serangan Perancis tetapi mereka masih gagal menembusi benteng pertahanan Tunisia yang beraksi dengan cukup berdisiplin.

Ketumpulan penyudah menyaksikan Deschamps melakukan 2 lagi pertukaran pemain dengan memasukkan penyerang utama, Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele.

Griezmann berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit akhir di masa tambahan tetapi jaringan itu dibatalkan kerana pengadil mendapati pemain tersebut berada dalam kedudukan ‘offside’.

Keputusan 1-0 kekal dan mengesahkan 3 mata menjadi milik Tunisia.

Walaupun menang, Tunisia tidak berjaya mengesahkan tempat ke pusingan 16 apabila pencabar terdekat, Australia merampas kedudukan kedua dalam kumpulan D dengan 6 mata selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Denmark.