Peminat bola sepak tempatan kemungkinan akan menyaksikan kelibat pemain yang berpengkalan dari Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 pada bulan Disember ini.

Perkara ini dikongsikan oleh bapa Kuzain iaitu Wan Kamal menerusi satu komen di media sosial Facebook dimana seorang peminat bertanya sesuatu mengenai perkembangan anaknya untuk panggilan ke skuad kebangsaan.

Namun begitu, Wan Kamal membalas komen tersebut dengan menyatakan ada sesuatu yang besar sedang menanti pada hujung tahun ini dan beliau memberi bayangan anaknya bakal dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya untuk menghadapi Piala Suzuki AFF 2020.

“InsyaAllah kena sabar dan tunggu hujung tahun ini. Ada sesuatu yang besar akan datang,” katanya.

Komen daripada Wan Kamal turut membangkitkan rasa teruja dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan mereka tidak sabar menunggu pengumuman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Wan Kuzain sebelum ini pernah dipanggil menyertai kem latihan skuad bawah 23 tahun negara ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee bagi menghadapi Sukan SEA pada tahun 2019.

Bagaimanapun, hasrat beliau untuk menyarung jersi Malaysia ketika itu tidak kesampaian kerana masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan oleh FAM sebelum tarikh pendaftaran pemain ditutup.

Situasi itu tidak mematahkan semangat Wan Kuzain dan beliau dilihat masih berminat untuk menyarung jersi Harimau Malaya di pentas antarabangsa selepas melihat penampilan Dion Cools dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 bulan Jun lalu.

Melihat kepada minatnya itu, FAM mungkin sudah bertindak lebih awal dan melakukan kerja mereka dalam urusan dokumentasi pemain tersebut. FAM dijangka akan mengumumkan senarai rasmi 30 pemain ke Piala Suzuki AFF 2020 dalam masa terdekat.

Sama-sama kita saksikan sama ada nama Wan Kuzain berada dalam senarai panggilan ke skuad kebangsaan atau tidak. Kehadirannya akan memberi banyak pilihan kepada Tan Cheng Hoe untuk membentuk barisan yang mantap dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2023 tahun depan.

Pasukan Harimau Malaya akan berkumpul selepas tamat saingan separuh akhir Piala Malaysia pada 26 November 2021. Manakala pemain daripada kelab yang layak ke final Piala Malaysia akan menyertai kem latihan pusat selepas 30 November 2021.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Harimau Malaya Hanya Ada Tiga Hari Buat Persiapan Hadapi Piala Suzuki AFF 2020

Piala Suzuki AFF 2020: Harimau Malaya Akan Beraksi Di Stadium Bishan

Tawaran TMJ Uruskan Skuad Harimau Malaya Ditolak

Merchandise Rasmi Harimau Malaya Kini Boleh Didapati Di Al-Ikhsan Sports

FAM Tangguh Pengambilan Pemain Naturalisasi Untuk Harimau Malaya