Khabar gembira diterima oleh barisan pemain Melaka United apabila Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) telah melangsaikan tunggakan gaji sekaligus memberikan sinar menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata pihaknya telah menyelesaikan bayaran gaji pemain bagi bulan Mac dan juga April.

“MUSA sentiasa bekerja keras dalam usaha mendapatkan tajaan dari syarikat korporat. Apa yang memberangsangkan usaha dilakukan menampakkan hasil dengan kerjasama pelbagai pihak,” lata Farhan menurut laporan Berita Harian.

Melaka United
Sumber Gambar: MUSA

Selain menyelesaikan tunggakan gaji pemain pasukan Liga Super, Farhan Ibrahim menegaskan MUSA juga berjaya menyelesaikan tunggakan gaji pemain daripada skuad Piala Presiden.

Sebelum ini, MUSA menghadapi krisis kewangan sehingga menyebabkan mereka gagal untuk membayar gaji pemain dan pegawai pasukan.

Akan tetapi, masalah berkenaan dilihat berjaya diatasi oleh persatuan tersebut dengan pembayaran gaji pemain baru-baru ini.

Pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan kini menduduki tangga keempat dalam saingan Liga Super musim ini.