PETRONAS Akademi Badminton Malaysia (ABM) mengambil langkah proaktif dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti sukan tersebut apabila telah menubuhkan Panel Penasihat Teknikal.

Seperti diumumkan pada April tahun lalu, ABM telah diasingkan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekali gus bertindak sebagai pusat berprestasi badminton negara tanpa campur tangan daripada badan induk tersebut daripada pelbagai aspek.

Lebih menarik untuk diperkatakan, tujuh daripada 14 panel tersebut terdiri daripada legenda badminton negara yang diketuai Datuk Wira Lee Chong Wei, Datuk Jalani Sidek, Datuk Cheah Soon Kit, Tan Boon Heong, Koo Kien Keat, Ong Ewe Hock dan Roslin Hashim.

Melengkapkan senarai tersebut ialah golongan profesional seperti Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria selaku pengerusi, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara), Ahmad Faedzal Md Ramli (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara), Dato’ Teoh Teng Chor (Naib Presiden BAM), Datuk Ng Chin Chai (Naib Presiden BAM), Dato’ Kenny Goh Chee Keong (Setiausaha Agung BAM), Dato’ Dr. Ramlan Abd. Aziz (bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara).

Menurut sumber laporan dikeluarkan laman Facebook rasmi BAM, Panel Penasihat Teknikal ABM ini menjalankan tugasan tanpa sebarang bayaran.

Antara peranan yang bakal dimainkan pasukan khas ini ialah dalam memberikan input tambahan, nasihat dan panduan strategik kepada Lembaga Pemegang Amanah dan Pengurusan ABM dengan tujuan untuk meningkatkan prestasi pemain dalam jangka masa panjang bagi mendapatkan kejayaan di Sukan Olimpik, Jelajah Dunia BWF dan pertandingan-pertandingan lain.

Selain itu, Panel Penasihat Teknikal akan bermesyuarat setiap suku tahun bagi menyemak prestasi pemain dan jurulatih dan jika perlu mencadangkan perubahan dalam dasar, program latihan dan penyertaan kejohanan dalam bentuk cadangan kepada Lembaga Pemegang Amanah.