Jika dahulu kita sering melihat Datuk Ong Kim Swee berada di tepi padang untuk perlawanan antarabangsa melibatkan pasukan kebangsaan bawah 23 tahun, namun kali ini berbeza apabila beliau bakal membuat penampilan sulung dalam saingan TM Piala Malaysia 2021 malam ini.

Sabah merupakan kelab professional kedua dibimbing olehnya kerana mempunyai pengalaman melatih pasukan Melaka pada tahun 2004 hingga 2005.

Beliau berharap kemunculannya dalam saingan Liga Malaysia bermula dengan keputusan yang positif apabila skuad Tambadau bakal menentang PJ City di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

“Selepas seminggu saya bersama mereka sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan suatu perubahan yang cukup besar dalam waktu terdekat, ini agak mustahil…kita berharap Sabah FC mampu bangkit selepas tewas dalam beberapa perlawanan dalam saingan Liga Super.

“Semua pemain menunjukkan sikap yang cukup positif serta sanggup menerima segala perubahan yang cuba saya lakukan. Ini sudah tentu memberi keyakinan yang amat tinggi bagi membolehkan mereka mempamerkan kualiti sebenar permainan,” katanya.

Ong Kim Swee mengendalikan sesi latihan sejak minggu lalu.

Kim Swee berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula dari tahun 2007 dengan pelbagai jawatan iaitu ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, skuad B-17 kebangsaan, skuad Harimau Muda, skuad B-23 kebangsaan, skuad kebangsaan, Ketua Unit Belia dan terakhir sebagai Pengarah Teknikal bermula Januari 2021.

Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama skuad kebangsaan ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013, pingat perak Sukan SEA 2017, suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018.

Mengulas mengenai perlawanan menentang PJ City malam ini, beliau menyifatkan pasukan itu bukan mudah untuk ditewaskan, lebih-lebih lagi mereka mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri.

“Dalam rekod perlawanan saingan Liga Super, Sabah FC tewas dua kali kepada PJ City FC, oleh itu harapan saya untuk semua pemain agar mereka membuktikan yang kita mampu bersaing dengan mana-mana pasukan sekali pun,” katanya dipetik dalam Bernama. 

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

KFA Akan Berunding Dengan LHDN Untuk Hapus Kira Tunggakan Cukai Tahun Lalu

Langkawi City Jalin Hubungan Kerjasama Dengan Borussia Dortmund

Sri Pahang Rancang Bina Pusat Latihan Lengkap

Joma Terus Bersama Selangor Sehingga 2023 Dengan Jumlah Penajaan Bernilai RM2.1 Juta Setahun