Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel berkata keselamatan pemain terancam selepas pasukannya terpaksa bermain perlawanan Liga Perdana menentang Wolverhampton Wanderers pada hari Ahad walaupun wabak Covid-19.

Chelsea terikat seri tanpa jaringan di dalam perlawanan tersebut. Di mana mereka berdepan dengan isu beberapa pemain mereka diarahkan kuarantin.

Pengurus pasukan Tuchel meminta perlawanan ditangguhkan selepas melaporkan beberapa kes positif di kelab beliau.

Namun malangnya permintaan Chelsea itu tidak dilayan. Chelsea hanya mempunyai empat pemain bukan penjaga gol di bangku simpanan ketika mereka seri 0-0 dengan Wolves.

“Ia tidak selamat,” kata Tuchel kepada BBC Sport.

Dia menambah: “Kita bercakap tentang melindungi pemain dan persekitaran yang selamat tetapi ia tidak selamat. Saya tidak akan terkejut jika ujian seterusnya muncul dan kami mempunyai lebih banyak kes positif.”

“Bagaimana ia harus berhenti jika kita duduk di dalam bas dan makan malam di tempat yang sama dan tinggal bersama seperti tiada apa-apa yang berlaku?”

Enam daripada 10 perlawanan hujung minggu Liga Perdana ditangguhkan kerana Covid. Perlawanan Aston Villa dengan Burnley pada hari Sabtu dibatalkan hanya dua setengah jam sebelum sepak mula.

20 wakil kelab EPL akan bermesyarat pada hari Isnin jam 13:00 GMT untuk membincangkan krisis yang semakin meningkat. Pengurus pasukan dan kapten juga akan mengadakan mesyuarat mereka sendiri.

EPL buat masa ini masih belum memutuskan untuk menunda atau menghentikan seketika aksi Premier League.

UK antara negara yang terjejas teruk kerana varian baru Covid-19, iaitu omicron.

Premier League menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak yang menuduh mereka lebih mementingkan soal komersial berbanding nyawa pemain.