Thomas Tuchel ternyata tidak gembira dengan penyerangnya, Romelu Lukaku yang secara terang terangan mempersoalkan taktikalnya. Selain itu Lukaku turut bercakap tentang banyak perkara lain yang menurut Tuchel sebagai ‘bunyi bising’ yang tidak perlu pada ketika ini.

Lukaku bercakap kepada wartawan secara terbuka menyatakan bahawa dia masih sayangkan Inter Milan dan bertekad mahu kembali semula ke kelab itu.

Di dalam kepala Lukaku, dia masih memikirkan Inter Milan sepanjang masa.

Bukan itu sahaja, Lukaku malah menyatakan bahawa dia sebelum ini ditawarkan kontrak lebih besar oleh Manchester City, berbanding dengan tawaran oleh Chelsea.

Namun ketika itu Lukaku memutuskan untuk terus kekal bersama Inter kerana beliau baru sahaja setahun bersama dengan Inter yang menyelamatkannya daripada masa masa yang teruk di Manchester United.

Dalam wawancara tersebut, Lukaku berkali kali menyatakan bahawa dia akan kembali semula ke Inter Milan. Walaupun mengaku dia terpaksa meninggalkan kelab tersebut selepas mendengar Inter Milan berdepan dengan masalah kewangan dan terpaksa melepaskan beberapa pemain.

Keadaan diburukkan lagi apabila Conte meninggalkan kelab itu kerana tidak setuju dengan polisi Inter Milan yang memintanya menjual pemain bintang bagi menambah dana kelab.

Lukaku malah menyatakan bahawa dia sedia melanjutkan kontrak di Inter pada ketika itu jika ada tawaran.

Ditanya tentang Lautaro Martinez, Lukaku menganggap pemain itu gandingan terbaiknya.

“Saya rindukan Lautaro Martinez. Saya sanggup mati di atas padang demi dia sejak hari pertama saya bertemu dengannya.”

Wartawan bertanya sama ada Lukaku mahu memujuk pemain itu datang ke Chelsea. Lukaku menjawab: “Tak! Lautaro, kamu boleh terus kekal di Milan, sebab saya akan kembali ke sana.”

Bercerita tentang situasinya di Chelsea, Lukaku mempersoalkan perubahan taktikal Tuchel ketika dia tiba di Chelsea. Ianya membuatkan Lukaku sukar untuk mendapatkan rentak terbaiknya.

Lukaku malah menyindir Tuchel yang menjadi sebab kenapa dia bergelut untuk mendapatkan lebih banyak gol walaupun secara fizikal Lukaku berada di tahap terbaik.

Bukan itu sahaja, Lukaku malah mempersoalkan kenapa Tuchel tidak memberikannya lebih banyak minit, walaupun dia terpaksa akur.

Lukaku menambab: “Secara fizikalnya, saya bagus. Namun saya tak gembira dengan situasi di Chelsea. Tuchel telah memutuskan untuk bermain dengan sistem lain – [namun] saya tak akan berputus asa. Saya akan kekal profesional.”

“Saya tidak gembira dengan keadaan, namun saya seorang profesional dan saya tak boleh mengalah sekarang.”

Respon Tuchel

Ternyata pengurus Chelsea itu tidak gembira dengan kenyataan Lukaku yang dianggap mengundang lebih banyak masalah.

Agak ironi kerana beberapa bulan lalu, Tuchel tampil memuji Lukaku. Dengan membandingkan Lukaku dengan Neymar dan Mbappe.

Menurut Tuchel, menguruskan Lukaku jauh lebih mudah daripada menguruskan Mbappe dan Neymar.

Tuchel kini sangat kecewa dengan Lukaku. Tuchel berkata: “Jujurnya, saya tak sukakannya. Kerana kenyataan itu adalah bunyi bising yang kita tak perlukan ketika ini. Sangat senang untuk orang memanipulasi kenyataan itu di luar konteks. Sudah tentu saya tak sukannya.”

“Bunyi bising seperti ini kita tak mahukan dan tidak memberikan apa apa manfaat.”

Tuchel sudah bersedia untuk bersemuka dengan Lukaku secara tertutup untuk menyelesaikan perkara tersebut.

“Kami akan bercakap secara terbuka dengan Lukaku secara dalaman.”

“Saya terkejut [dengan kenyataan Lukaku] kerana kita tak pernah nampak dia tak gembira – sangat bertentangan.”

“Kita di sini akan cuba mengambil masa untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku pada Lukaku, ianya tidak menggambarkan sikapnya pada setiap hari.”

Tuchel dintanya bagaima Chelsea akan membantu Lukaku mendapatkan prestasi terbaiknya.

Tuchel menjawab: “Berlatih, berlatih, bermain. Berlatih, bermain, berlatih, bermain, tidur, makan dengan sebaiknya, berlatih, bermain, tidur, makan dengan sebaiknya, minum banyak air, berlatih dan jangan adakan wawancara.”