Thomas Tuchel mengatakan ketiadaan peminat terbukti telah menyukarkan pasukan mereka di atas padang.

Pengurus PSG itu menjadikan aksi di sebalik stadium kosong itu sebagai punca kenapa PSG kalah di tangan Manchester United.

PSG – naib juara Liga Juara-Juara musim lalu – tewas 2-1 kepada pelawat, Manchester United dalam aksi pembukaan Kumpulan H di Parc des Princes.

Rembatan deras leret Marcus Rashford pada minit ke-87 membuatkan PSG kehilangan 3 mata.

Bruno Fernandes terlebih dahulu meletakkan Manchester United di hadapan menerusi penalti minit ke-23.

Namun PSG menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri Anthony Martial.

Tuchel meratapi kekalahan dan menegaskan pasukannya memerlukan peminat berada di stadium untuk menaikkan lagi motivasi mereka.

“Sudah jelas bahawa kita dapat memperbaiki lagi permainan kita dan kita harus melakukannya,” kata Tuchel kepada wartawan.

“Jelas sekali, kita tidak berpuas hati dengan persembahan di atas tetapi sekarang bukan saat yang terlalu kritikal.”

“Kami ada  banyak perkara untuk diperbaiki. Saya tidak tahu mengapa tetapi jelas bahawa kami menghadapi masalah untuk mencari semangat yang diperlukan.”

“Sangat sukar untuk selalu bermain di stadium kosong, sangat sukar, bukan suasana yang sama di Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini.”

“Ini adalah salah satu sebab tetapi ia bukan alasan yang menentukan kekalahan kami.”

“Kami akan menganalisis dan membincangkan tetapi secara tertutup.”

PSG – turun tanpa pemain seperti Marquinhos dan Marco Verratti – jauh dari prestasi terbaik mereka.

Duo serangan Neymar dan Kylian Mbappe pula didiamkan oleh pertahanan Manchester United.

Neymar gagal menjaringkan gol dalam empat penampilan berturut-turut di Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kalinya sejak November 2013.

Tuchel menganggap kumpulan ini jelas sekali kumpulan yang sukar.

“Saya tidak memerlukan bukti, saya tahu ia adalah kumpulan yang sukar.”

“Saya tahu perkara itu dengan baik. Saya tahu apa yang kami kurang.”

“Kami berdepan krisis kecederaan pemain. Dan pemain sudah membuktikan apa yang mereka mampu lakukan.”

“Kami mencuba, tetapi saya akan selalu mempertahankan pemain saya, kerana mereka pemain yang sama yang berjaya dengan baik dalam minggu-minggu terakhir, bulan-bulan terakhir.”

“Hari ini, sepertinya … kami menghadapi masalah untuk mencari jalan keluar dan semangat yang diperlukan dalam Liga Juara-Juara. Sekarang, persaingan lebih sukar daripada sebelumnya [dalam kumpulan].”

Pemain pertahanan PSG, Presnel Kimpembe, yang menjadi kapten juara Ligue 1, menyatakan kepada RMC Sport: “Tidak ada alasan. Kami tidak baik malam ini, kami tidak berada dalam persaingan dan kami tidak cukup pantas dan terlambat untuk kembali bertahan.”

“Anda menanggung akibatnya pada tahap ini. Kita hanya dapat melihat kesalahan pada diri kita sendiri. ”

Baca juga perkembangan lain

Arteta Jawab Kenyataan Ozil, Nafikan Dipengaruhi Orang Atasan Dalam Keputusannya

Ronaldo Terlepas Aksi Berdepan Messi Kerana Disahkan Covid-19 Sekali Lagi

UCL: Tete Ketuai Pasukan Tempang Malukan Real Madrid Di Halaman Sendiri