TRW Kelantan menafikan khabar angin yang beredar di media sosial yang mengatakan pemain mereka sudah tiga bulan tidak menerima sebarang gaji.

Kelantan mengeluarkan kenyataan di laman media sosial rasmi pasukan dimana mereka menegaskan gaji pemain tidak pernah tertunggak selepas ahli perniagaan, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengambil alih pasukan.

“Pihak pengurusan TRW Kelantan FC ingin membuat kenyataan rasmi berkaitan isu dakwaan pemain TRW Kelantan FC tidak menerima pembayaran gaji selama tiga bulan yang tular di media sosial hari ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa pihak pengurusan baharu Kelantan sepenuhnya menafikan dakwaan ini dan pihak kelab meminta pemilik akaun Facebook: AirCo Maigel atas nama Normartil Harith Haigel Bin Nordin memberi bukti yang sahih bagi kenyataan seperti dibawah: “3 bulan ch bossku…player sapa mitok pinjam duit nga ore lain. kikik™”

“Untuk makluman, bayaran gaji para pemain TRW Kelantan FC tidak pernah tertunggak di bawah pengurusan baharu ini. Satu Letter of Demand (LOD) dari pihak pequam kelab TRW Kelantan FC sudah dihantar kepada pihak berkenaan bagi menangani isu fitnah dan demi
menjaga imej kelab.

“Pihak kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang membangkitkan isu negatif menerusi penyebaran maklumat yang boleh boleh menjatuhkan imej kelab.

“Sebarang maklumat yang dikongsi perlulah tepat bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang menimbulkan fitnah antara penyokong terhadap pengurusan TRW Kelantan FC,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.

Pada aksi Liga Premier menentang UiTM FC baru-baru ini, Kelantan berjaya mencatat kemenangan 3-0 dimana gol dijaringkan oleh Nurshamil Abdul Ghani, Farhan Roslan dan Kervens Belfort.

Skuad bimbingan Rizal Zambery Yahya itu kini sedang menduduki puncak carta Liga Premier dengan kutipan 9 mata selepas mencatat tiga kemenangan dalam tiga perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Pelatih Akademi Mokhtar Dahari Disahkan Meninggal Dunia Akibat Lemas

Khuzaimi Piee: Tunjuk Ajar Pemain Senior Banyak Membantu Saya

Azizul Abidin Puji Usaha Keras Pemain Perlis United Tundukkan PDRM