Pemilik TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham memberi bayangan bakal membawa masuk beberapa pemain bintang dalam pasukan itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia nanti.

Ketika ini, skuad kendalian Frank Bernhardt itu menghuni kedudukan kedua tercorot Liga Super dan hanya mampu mencatat satu kemenangan selepas mengharungi 9 perlawanan.

Zamsaham menyedari pemain tempatan dalam pasukannya tidak mempunyai kualiti berdasarkan prestasi dalam saingan Liga Super dan beliau dijangka melakukan rombakan besar-besaran.

“Pasal prestasi kita, saya sudah bincang dengan Frank, Rizal dan Qus berserta barisan jurulatih yang lain untuk perbaiki pasukan keluarkan pemain dan masukkan lebih ramai pemain berkualiti Liga Super di putaran kedua.

“Jangan risau saya tak duduk diam.saya buat kerja. Usaha terus sampai berjaya,” katanya menerusi laman facebook Zamsaham.

Beliau juga kini telah mendapat semangat baharu selepas berjumpa dengan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).

Ia bukan perjumpaan yang biasa kerana Zamsaham turut diberikan hadiah berupa dua ekor kuda sempena sambutan hari jadinya.

Meskipun kedua-dua pemilik pasukan ini melihat kuda sebenar, namun ramai peminat berpendapat ada maksud lain yang mahu disampaikan oleh Zamsaham.

Beberapa pemain JDT bakal dipinjamkan ke Kelantan yang ketika ini sedang bergelut dengan masalah prestasi dalam saingan Liga Super.

Pemain yang kurang mendapat minit permainan bersama JDT berkemungkinan besar bakal dipinjamkan sekaligus membantu Kelantan untuk bangkit semula dalam saingan Liga Super.