Skuad TRW Kelantan nampaknya berbelanja besar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini apabila pemilik kelab itu, Norizam Turkiman atau dikenali sebagai Zamsaham mengumumkan telah membawa masuk dua lagi pemain import baharu.

Menurut kenyataannya di laman facebook, pihaknya telah mendapatkan khidmat bekas pemain JDT dan skuad kebangsaan Filipina, Carli De Murga dan penyerang dari Nigeria, Ismahil Akinade.

De Murga sebelum ini beraksi bersama pasukan Terengganu FC pada musim 2021 kemudian menyertai  JDT pada musim 2022. Bersama Harimau Selatan, beliau sempat beraksi dalam 9 penampilan dan menjaringkan satu gol.

Manakala Ismahil Akinade mempunyai beraksi dalam Liga Vietnam bersama pasukan Ho Chi Minh City, SHD Da Nang dan Hong Linh Ha Tinh sebelum berhijrah ke Mesir menyertai Telecom Egypt.

Musim lepas, Ismahil menyertai kelab Bangladesh, Sheikh Russel KC dan menjaringkan 6 gol dalam 10 penampilan.

Malah, ZamSaham juga mengesahkan bekas penyerang pemain kebangsaan Australia akan menyertai pasukan tersebut sekaligus melengkapkan kuota 9 pemain import yang dibenarkan oleh Malaysia Football League (MFL) pada musim ini.

“InsyaAllah seorang penyerang bekas pemain kebangsaan Australia bakal bermain dengan TRW Kelantan musim ini.  Carli De Murga juga insyaAllah akan bermain untuk TRW Kelantan.

“Ismahil Akinade akan bermain dengan TRW Kelantan cuma proses kemasukannya lewat kerana passport Nigeria agak mengambil masa sikit. Tetapi semuanya ok,” katanya.

Selain De Murga dan Ismahil,  TRW Kelantan turut mengikat Kim Ming Kyu dan Kang Eui Chan dari Korea Selatan, Cristian Mangaron Rontini (Itali), Mario Arques, Miguel Angel Garrido Cifuentes (Sepanyol) dan Nuha Marong Krubally (Gambia).

Selain itu, mereka juga mempunyai pemain dari Indonesia, Natanael Siringoringo yang kini dipinjamkan ke pasukan Liga I Indonesia, Dewa United.

Skuad Kijang Merah turut mengekalkan pemain tempatan seperti Mohd Fazrul Amir Md Zaman atau Ghaddar Kelate, Ikhwan Yazek, Norshamil Abd Ghani selain Rezal Zambery Yahya sebagai pembantu jurulatih kepada pengendali dari Korea Selatan, Choi Moonsik.

ZamSaham berkata pihaknya berbelanja tiga kali lebih besar kali ini berbanding musim lalu dan menyasarkan kedudukan 10 teratas bagi saingan Liga Super pusingan pertama.

Selain itu, mereka juga menyasarkan penjualan `merchandise’ Kelantan FC sebanyak RM800,000 tahun ini.