Sepanjang 19 tahun berkecimpung dalam sukan futsal, Ricardinho telah memenangi pelbagai kejuaraan terutamanya di peringkat domestik ketika menyarung jersi Inter Movistar, Benfica dan Nagoya Oceans.

Begitu juga ketika bersama skuad kebangsaan Portugal dimana legenda futsal dunia yang kini berusia 36 tahun itu pernah membantu negaranya menjulang trofi Kejuaraan Futsal UEFA EURO 2018 di Slovenia.

Selain itu, beliau juga mengecapi nikmat selaku pemenang anugerah ‘Pemain Futsal Terbaik Dunia’ sebanyak enam kali.

Susulan dengan kejayaan hebat dilakarkannya itu sudah pasti terdetik di mindanya untuk membantu Portugal menjulang Piala Dunia Futsal apatah lagi usia dan kudratnya pada ketika ini membataskan aksi beliau untuk seperti beberapa tahun lalu.

Namun, seperti pepatah ‘rezeki takkan tersalah alamat’ buat beliau apabila pada awal pagi tadi, sumbangan yang dicurahkannya telah membantu Portugal menjuarai piala paling berprestij tersebut dengan kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Argentina.

Ketika ramai menjangkakan Argentina mampu untuk mengekalkan kejuaraan dimenangi pada 2016, Ricardinho dan rakan sepasukan membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dicapai oleh mereka.

Kejayaan hebat itu sekali gus menamatkan penantian Ricardinho dalam memburu kejuaraan sejak dari kempen Piala Dunia 2008 yang berlangsung di Brazil.

“Saya sudah berada dalam skuad kebangsaan selama 18 tahun. Saya telah bermain banyak perlawanan, banyak pertandingan, empat Piala Dunia.”

Kredit Foto: FIFA Futsal World Cup

“Saya sentiasa berada dalam keadaan yang cukup baik,” ujar Ricardinho menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

“Enam bulan lalu saya berada di katil hospital. Ia merupakan pembedahan yang sukar dalam karier saya. Saya hampir tidak dapat menendang bola seperti kebiasaan selepas itu.”

“Saya harus bekerja lebih keras daripada apa yang anda percaya untuk saya kembali mendapat tempat dalam skuad Portugal, untuk membantu pasukan.”

“Enam bulan lalu, saat ini kelihatan amat mustahil untuk dihadapi. Saya terasa seperti mahu bersara, saya tahu ini merupakan peluang terakhir untuk memenangi trofi [Piala Dunia] yang saya impikan sepanjang hidup saya.”

“Saya tahu saya akan sentiasa menyesal sekiranya tidak memenangi Piala Dunia. Saya sangat emosional, saya sangat gembira dengan kejayaan ini.”

“Saya telah memenangi tiga kejuaraan [Piala Futsal UEFA], 15 kejuaraan liga, EURO, tetapi ini pastinya lebih istimewa. Ia merupakan detik yang paling hebat dalam karier saya, hari yang hebat dalam hidup saya.”

“Saya telah menunggu sepanjang karier saya untuk menjulang trofi ini,” tambah Ricardinho lagi.

Lebih manis buat Ricardinho pada saingan yang berlangsung di Lithuania ini ialah beliau turut dipilih sebagai pemain paling bernilai [adidas Golden Ball] kejohanan.

Sumber